INISIATIF Undi Rabu yang membantu pengundi mendapatkan rumah untuk mengundi pada pilihan raya umum ke-14, kembali beraksi untuk Pilihan Raya Kecil Parlimen Port Dickson pada 13 Oktober.
Walaupun pengundian tidak diadakan pada hari bekerja seperti PRU14, Alzari Mahshar, salah seorang tunggak utama di belakang inisiatif itu, berkata semua pengundi mempunyai hak untuk memilih siapa yang mereka mahu menjadi Ahli Parlimen mereka.
“Terdapat banyak calon bebas dalam pilihan raya kecil ini. Mereka tidak mempunyai dana untuk menggerakkan pengundi.
“Ada yang mengatakan bahawa ini adalah pilihan raya kecil yang dianugerahkan, jadi biarkan rakyat tentukan siapa yang mereka mahu sebagai Ahli Parlimen mereka,” katanya kepada The Malaysian Insight, sambil menambah bahawa kumpulan Undi Rabu tidak bersikap partisan.
Walaupun ramai yang berpendapat bahawa pilihan raya kecil itu akan dimenangi presiden PKR Anwar Ibrahim, Alzari berkata para pengundi harus pulang untuk mengundi.
“Beberapa pengundi luar negeri mahu pulang ke rumah untuk mengundi tetapi mereka ditahan oleh kekangan kewangan, jadi mereka perlu dibantu.”
Anwar yang juga merupakan calon Perdana Menteri akan berdepan lima calon bebas dan seorang calon daripada PAS.
Seperti dalam PRU14, Undi Rabu akan sekali lagi mengumpul sumbangan dan mengagihkannya kepada pengundi bergantung kepada cara pengangkutan yang mereka gunakan.
“Seperti apa yang kami lakukan pada PRU14, kami akan bantu pengundi Port Dickson yang mahu pulang ke rumah untuk mengundi dalam pilihan raya kecil dengan memberi subsidi kepada perbelanjaan pengangkutan mereka.
“RM50 jika mereka melakukan perjalanan darat dan RM100 jika mereka pulang menggunakan kapal terbang. Mereka yang pulang dari Malaysia Timur akan mendapat RM200,” kata Alzari.
Mereka yang memerlukan bantuan Undi Rabu boleh menghantar emel kepada [email protected] dan nyatakan butiran seperti nombor MyKad mereka dan gambar skrin stesen mengundi mereka.
Alzari juga berkata tempoh inisiatif untuk Port Dickson akan menjadi pendek dan pantas, ia berlangsung selama 10 hari, tidak seperti PRU 14 yang berlangsung selama sebulan dan mengumpulkan ratusan ribu ringgit daripada penderma.
Undi Rabu muncul ketika kempen PRU14 selepas tarikh 9 Mei, Rabu, ditetapkan sebagai hari mengundi.
Langkah yang diambil kerajaan Barisan Nasional sebelum ini menimbulkan kemarahan ramai orang dengan mengatakan bahawa pengundian sengaja ditetapkan pada hari bekerja untuk mengelakkan pengundi luar negeri pulang ke kampung halaman untuk mengundi.
Menjawab respon terhadap kemarahan awam, Undi Rabu mengumpul sumbangan daripada penaja untuk membantu pengundi yang memiliki kesulitan kewangan untuk pulang mengundi.
Bagi PRK Port Dickson, wujud kebimbangan jumlah pengundi yang keluar untuk mengundi menjadi rendah.
Ketiga-tiga pilihan raya kecil selepas PRU14 di Seri Setia, Balakong dan Sungai Kandis di Selangor, menyaksikan pengundi yang keluar mengundi kurang daripada 50%.
Pada Isnin lalu, Anwar merayu rakyat Port Dickson untuk keluar dan mengundi beliau pada Sabtu depan, memberitahu mereka agar tidak mengambil mudah dan menganggap beliau akan menang.
Hari ini, Ahli Parlimen Port Dickson, Danyal Balagopal Abdullah yang mengosongkan kerusi itu untuk Anwar, menyuarakan kebimbangan orang ramai tidak mengambil serius PRK yang akan diadakan 13 Oktober nanti.
Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil berkata pengundi luar negeri menyumbang kira-kira 30% daripada pengundi berdaftar di Port Dickson.– 3 Oktober, 2018.
Komen