SEBUAH lagi krisis ketua menteri boleh dielak Sabah jika kerajaan persekutuan menggubal akta anti lompat parti, kata Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Joseph Pairin Kitingan.
Katanya, cadangan akta anti lompat parti yang pernah dicadangkan PBS ditolak dan ia perlu diperkenalkan sekarang jika Malaysia mahukan kestabilan politik.
“Jadi perlu ada kajian semula perkara ini jika Malaysia mahukan kestabilan.
“Kami cuba perkenalkan undang-undang anti lompat parti dahulu, tetapi kerajaan persekutuan Barisan Nasional menentangnya, berkata yang ia bertentangan dengan kebebasan berpersatuan,” katanya.
Sabah kini terlibat dalam krisis ketua menteri yang ketiga selepas pilihan raya 9 Mei lalu.
Bekas ketua menteri Musa Aman mendakwa beliau adalah ketua menteri sah dan mencabar pelantikan Presiden Warisan Shafie Apdal ke dalam jawatan sama di mahkamah
Musa mengangkat sumpah pada 10 Mei dan Shafie pula mengangkat sumpah pada 12 Mei selepas Musa hilang majoriti Adun.
“Ia situasi yang PBS tidak mahu berlaku lagi. Ini sudah kali ketiga. Sudah tentu Musa cabar. Proses perundangan sudah berlaku dan sekarang kita perlu tunggu mahkamah putuskan,” kata Pairin.
Dua krisis sebelum ini melibatkan PBS dan Pairin.
Perbicaraan siapa berhak jadi ketua menteri akan bermula pada 26 Oktober ini.– 3 Oktober, 2018.
Komen