PENGUNDI paling tua yang dikesan dalam daftar pemilih Port Dickson adalah seorang individu dianggarkan berusia 105 tahun, kata pengarah komunikasi PKR Fahmi Fadzil.
Itu merupakan antara individu disyaki sebagai pengundi hantu yang tersenarai sebagai antara 75,200 pengundi kawasan itu, katanya.
“Daripada daftar pemilih Port Dickson yang saya sempat lihat, ada yang lahir tahun 1913. Ini bermaksud dalam daftar kali ini, mungkin antara pengundi tertua di Port Dickson dalam dafta pemilih berumur 105 tahun atau 104 tahun,” katanya.
Daftar pemilih yang tidak bersih ini memberi masalah kepada parti untuk mengesan pengundi luar kawasan, jelasnya dalam sidang media di Port Dickson.
“Di sini ada keperluan reformasi daftar pemilih kerana mana-mana parti bertanding, tugas utama kita untuk berhubung dengan pengundi. Cara kami untuk kenalpasti (pengundi) adalah dengan daftar pemilih,” katanya.

Buat masa ini, Pakatan akan mendekati pengundi bergantung kepada kepada maklumat dalam pengkalan data hasil tinjauan NGO seperti Invoke, ejen tempat mengundi dan peraih undi.
“Kita akan guna pengkalan data nombor telefon raih undi. Ini proses yang menjerihkan tetapi ini tugas kita,” katanya lagi.
Tambahnya, parti turut menghargai usaha sebarang NGO atau pihak persendirian yang mengambil inisiatif untuk memujuk pengundi pulang menunaikan tanggungjawab pada 13 Oktober.
Pakatan Harapan menganggarkan seramai 30 peratus daripada lebih 75,200 pengundi Port Dickson terdiri daripada pengundi luar, akan pulang menunaikan tanggungjawab kali ini.
Jumlah keluar mengundi yang besar dalam pilihan raya umum 9 Mei membolehkan calon parti itu, veteran tentera Danyal Balagopal Abdullah menang dengan majoriti lebih 17,700 undi.
Danyal meletak jawatan bulan lalu untuk membolehkan Anwar Ibrahim bertanding di kerusinya untuk menyertai Parlimen dan menggantikan Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri.
PH menjangka akan mendapat kemenangan sekiranya 60 peratus pemilih akan keluar mengundi kali ini.– 3 Oktober, 2018.
Komen