Polis panggil Najib sekali lagi


Alfian Z.M. Tahir

Bekas perdana menteri Najib Razak tiba di ibu pejabat CCID di Kuala Lumpur pagi ini untuk sekali lagi memberi keterangan berhubung skandal 1MDB. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Oktober, 2018.

NAJIB Razak dipanggil sekali lagi untuk memberi keterangan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman hari ini.

Bekas perdana menteri itu tiba di ibu pejabatnya di Jalan Tun Razak jam 10 pagi tadi dan pada masa ini berada di Unit Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan untuk memberi keterangan.

CCID dijangka merekodkan keterangan Najib berhubung skandal 1MDB.

Ini kali keempat Najib memberi keterangan berhubung 1MDB kepada JSJK, selepas dipanggil pada 30 Ogos, 20 September dan 27 September lalu.

Ahli Majli Tertinggi Umno Lokman Noor Adam yang berada di ibu pejabat JSJK bersama berpuluh-puluh penyokong berkata, mereka berada di situ untuk memberi sokongan moral kepada Najib yang juga ahli Parlimen Pekan.

Najib tiba di ibu pejabat JSJK hari ini dan memasuki premis melalui pintu masuk parkir kereta bagi mengelakkan akhbar.

Pengarah JSJK Amar Singh Ishar Singh baru-baru ini memberitahu pemberita bahawa bekas perdana menteri itu akan dipanggil semula untuk disoal siasat sekali lagi.

Amar juga berkata, setakat ini polis telah mengambil lebih daripada 70 kenyataan daripada individu yang berkaitan dengan kes 1MDB.– 3 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen