Mahkamah benarkan permohonan blogger pro BN kaji semula kes rasuah Guan Eng


Looi Sue-Chern

Menteri Kewangan Lim Guan Eng dikritik hebat ketika mahkamah membebaskan beliau dari tuduhan rasuah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Oktober, 2018.

MAHKAMAH Tinggi Pulau Pinang menetapkan 12 Oktober untuk mendengar permohonan seorang blogger pro-Barisan Nasional untuk mengkaji semula keputusan baru-baru ini untuk membebaskan Menteri Kewangan Lim Guan Eng mengenai tuduhan rasuah melibatkan pembelian banglo di Jalan Pinhorn.

Blogger Muhsin Abdul Latheef, memfailkan permohonan itu pada 19 September, menamakan pendakwaan, Lim dan ahli perniagaan Phang Li Khoon, yang merupakan bekas pemilik harta itu, sebagai responden.

Dikenali dengan nama pena Mamu Parpu, adalah orang pertama membuat laporan di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang mendakwa Lim menyalahguna kedudukannya untuk membeli banglo dengan harga diskaun.

Bulan lalu, mahkamah membenarkan Lim dan Phang dibebaskan sepenuhnya selepas pendakwaan memutuskan untuk tidak meneruskan kes itu lagi.

Lim, yang sebelum ini Ketua Menteri Pulau Pinang, didakwa menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan diskaun dalam pembelian banglo pada 28 Julai 2015 dari Phang. Beliau membeli harta itu dengan harga RM2.8 juta jauh lebih murah daripada harga pasaran yang dikatakan bernilai RM4.27 juta.

Kesalahan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan membawa hukuman dua tahun penjara, denda atau kedua-duanya bagi pihak yang disabitkan kesalahan.

Phang didakwa bersubahat dengan Lim mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan, yang menetapkan hukuman yang sama bagi pesalah jika sabit kesalahan.

Lim juga dituduh menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan keistimewaan tersebut bagi beliau dan isterinya Betty Chew dengan meluluskan permohonan sebuah syarikat Phang yang terlibat dalam projek menukar tanah pertanian kepada komersial semasa mesyuarat jawatankuasa perancang negeri pada 18 Julai 2014.

Kes itu dibicarakan pada akhir bulan Mac dan ketika Muhsin  dipanggil sebagai saksi, mengakui bahawa dia tidak mengetahui nilai banglo atau tarikh pembelian ketika membuat laporan polis. Dia hanya menyatakan bahawa harta itu diperoleh pada tahun 2008.

Beliau berkata beliau membuat laporan tersebut berdasarkan laporan berita TV3 yang dilihatnya sebelum ini ketika perdebatan antara Ahli Parlimen Bagan itu dan Ahli Parlimen Tasek Gelugor Shabudin Yahaya di Dewan Rakyat, sambil menambah bahawa beliau tidak mempunyai agenda politik terhadap Lim.

Hakim Hadhariah Syed Ismail hari ini menetapkan 12 Oktober untuk mendengar permohonan Muhsin untuk semakan semula juga adalah merupakan hakim yang sama yang mengetuai kes Lim dan Phang.

Pembebasan Lim dan Phang pada bulan lalu menerima kritikan hebat. Beberapa pengkritiknya mengatakan Setiausaha Agung DAP itu terlepas kerana beliau kini menjadi sebahagian daripada kerajaan persekutuan yang memerintah dan tidak lagi bersama pembangkang.

Di luar kamar mahkamah, Muhsin memberitahu pemberita bahawa beliau telah mengumpul dana daripada orang ramai untuk membiayai permohonan yang akan menelan belanja kira-kira RM20,000.

Beliau diwakili oleh Gunamalar Law Chamber.– 3 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • TAHNIAH MUHSIN!

    Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Ibrahim draman · Ulasan