KESULITAN kewangan dan kekurangan peluang pendidikan memaksa ibu bapa di daerah pedalaman Sabah Pensiangan mengahwinkan anak-anak mereka pada usia muda, seawal 12 tahun.
Walaupun kempen dilakukan kumpulan masyarakat sivil, perkahwinan kanak-kanak tetap berlaku terutama di kampung-kampung, kata penduduk kampung Jalius Endim.
Kira-kira dua tahun lalu, program kesedaran diadakan di bandar kecil dan kampung berdekatan untuk mendidik penduduk setempat mengenai had usia perkahwinan dalam peruntukan undang-undang, iaitu 18 tahun untuk kanak-kanak perempuan.
Program itu berjaya menurunkan bilangan perkahwinan kanak-kanak di kawasan bandar sejak dua tahun lalu, tetapi di kampung-kampung terpencil, bilangan kes yang sebenar masih tidak direkodkan, kata Endim.
Bagaimanapun, berdasarkan laporan, terdapat upacara perkahwinan yang diadakan di beberapa kampung yang melibatkan kanak-kanak berusia 12 tahun, katanya lagi.
“Selama dua atau tiga tahun yang lalu, Pejabat Daerah Nabawan mengeluarkan pekeliling untuk menghentikan perkahwinan bawah umur,” kata Endim kepada The Malaysian Insight.
Berikutan pekeliling itu, jumlah kes dilaporkan menurun, tetapi Endim berkata kemungkinan penduduk kampung mendengar undang-undang itu atau sekadar meerahsiakan perkahwinan yang dijalankan.
Sabah telah lama mempunyai rekod tinggi berkaitan perkahwinan kanak-kanak terutama di kalangan gadis-gadis muda dari kawasan luar bandar.
Kemiskinan, kekurangan peluang pendidikan dan terasing dari kemajuan dikatakan antara alasan yang menyakdikan perkahwinan kanak-kanak yang tinggi di negeri itu.
Jauh dan miskin
Pensiangan Sabah terletak kira-kira 20 kilometer dari sempadan Kalimantan dan kira-kira tujuh jam perjalanan dari Kota Kinabalu, termasuk lebih 50 kilometer perjalanan melalui trek kayu balak.
Pekan ini hampir tidak mungkin diakses ketika hujan berlaku.
Terletak di dalam hutan tropika Sabah, Pensiangan mempunyai populasi 300 orang penduduk yang terdiri dari etnik Murut Bohol.
Tetapi ada ribuan lagi yang tinggal di kampung sekitar yang tersebar di daerah Mukim Nabawan, berhampiran sempadan Kalimantan.

Orang Murut kebanyakannya masih memburu makanan sendiri, antaranya babi hutan dan hidupan liar lain untuk kegunaan sendiri atau menjualnya sebagai daging belukar.
Martin Ansou, 37, berkata kehidupan mereka sebahagian besarnya bergantung kepada hutan, dengan beberapa keluarga mengusahakan ubi kayu.
“Ada di antara kami juga menjadi penoreh getah, tetapi pendapatannya tidak banyak,” katanya.
Ansou berkata beliau memperoleh kurang daripada RM500 sebulan, yang tidak mencukupi bagi menampung perbelanjaan sekolah tiga anaknya.
Sekolah tempatan SK Pensiangan adalah unik kerana ia adalah status Sembilan Komprehensif, yang meliputi subjek darjah satu sehingga tingkatan 3.
“Tidak ada pendidikan awal seperti tadika di sini sebelum ini, sehingga kebanyakan kami terus ke sekolah rendah,” kata Ansou.
“Tetapi sukar untuk kami belajar kerana tidak tahu membaca huruf.”
Ansou berkata kebanyakan rakannya tidak dapat meneruskan tingkatan 4, dan sebaliknya mula bekerja atau membantu ibu bapa mereka.
“Jadi sebahagian besarnya untuk mengurangkan beban keluarga kami, gadis-gadis terutamanya diberitahu untuk berkahwin pada usia 15 atau lebih awal,” katanya.
Kejadian perkahwinan kanak-kanak di Malaysia, yang banyak mengecewakan banyak komuniti, masih dianggap biasa terutamanya di kalangan keluarga berpendapatan rendah.
Di Malaysia, umur minimum undang-undang untuk perkahwinan di bawah undang-undang sivil bagi kedua-dua jantina adalah 18 tahun. Walau bagaimanapun, perempuan boleh berkahwin pada usia 16 tahun dengan izin ketua menteri negeri mereka, manakala undang-undang Islam menetapkan umur minimum 16 tahun untuk kanak-kanak perempuan dan membenarkan perkahwinan lebih awal dengan izin mahkamah syariah.
Pada bulan Jun tahun ini, kes seorang lelaki berusia 41 tahun yang mengambil seorang gadis berumur 11 tahun sebagai isterinya yang ketiga mengejutkan negara dan mencetuskan kemarahan kumpulan hak asasi kanak-kanak tempatan dan antarabangsa yang menyeru kerajaan Pakatan Harapan mengharamkan perkahwinan di bawah 18 tahun.
Sebulan kemudian, seorang gadis berusia 15 tahun dilaporkan berkahwin dengan seorang anggota RELA berusia 44 tahun di Kelantan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata hakim mahkamah syariah mesti mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang diluluskan Persidangan Hakim Syariah dua bulan lalu sebelum mempengerusikan perkahwinan yang melibatkan anak-anak di bawah umur.
Antara SOP tersebut termasuk menjalankan pemeriksaan latar belakang keluarga, penilaian psikologi dan kesihatan, dan pendaftaran permohonan perkahwinan oleh orang tua kanak-kanak itu.
Bagaimanapun, Wakil Khas PBB Maud de Boer-Buquicchio baru-baru ini mengatakan bahawa kerajaan harus menghapuskan semua SOP dan naikkan had umur minimum perkahwinan hingga 18 tahun tanpa pengecualian.
Beliau berkata kerajaan perlu berbincang dengan pemimpin agama dan adat untuk meyakinkan mereka tentang kesan negatif mengenai perkahwinan kanak-kanak.
“Dengan mengahwinkan mereka lebih awal, anda menghalang mereka hak untuk pendidikan, perlindungan,” katanya.– 4 Oktober, 2018.
Komen