KEMENTERIAN Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) tidak pernah bersetuju dengan penyelesaian mengahwinkan mangsa dengan perogolnya dan menegaskan tindakan itu tidak akan melindungi pesalah daripada hukuman.
Menterinya Rohani Abdul Karim berkata demikian semasa menjawab mengenai status mangsa rogol yang berkahwin dengan perogolnya tetapi terpaksa akur dengan keputusan mereka walaupun tidak bersetuju dengan pendekatan itu.
“KPWKM mengambil pendirian perkahwinan kanak-kanak tidak digalakkan dan mereka perlu diberi peluang mengembangkan potensi diri sepenuhnya.
“Bagaimanapun KPWKM akur keputusan mangsa dan keluarga untuk menerukan perkahwinan bagi pasangan berkenaan menurut lunas undang-undang sedia ada,” kata kementerian dalam kenyataan balas berhubung isu mangsa rogol.
Semalam, Ahli Parlimen Kulai Teo Nie Chi mempertikaikan jawapan menteri tersebut apabila menyatakan mangsa rogol terbabit berada dalam kesihatan yang baik.
Ahli Parlimen DAP itu berkata jawapan dibuat menunjukkan kementerian itu menerima perkahwinan sebagai satu cara penyelesaian bagi kes rogol.
KPWM berkata perkahwinan tersebut juga selaras dengan Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 dan Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam di negeri memperuntukkan perkahwinan bawah umur 16 tahun dibenarkan dengan mendapat kelulusan dari Mahkamah Syariah.
“KPWKM sedia komited dalam memberikan jaringan sokongan sosial yang diperlukan seperti kaunseling dan pemantauan berkala demi kebajikan kanak-kanak dan keluarganya.
“Sebagaimana dinyatakan menteri di Parlimen dalam sesi Dewan Rakyat pada 1 Ogos 2017 yang bertulis dalam lawatan terkini ke rumah keluarga, kanak-kanak berada dalam keadaan sihat serta masih tinggal bersama ibu bapanya.
“Kanak-kanak tersebut memaklumkan beliau selesa tinggal bersama ibu bapanya dengan membantu ibunya menjaga anak kakak dan abangnya yang tinggal bersama.” – 8 Ogos, 2017.
Komen