Dulu pembelot PKR, hari ini bela Anwar di PD


Kamles Kumar

Ruslan Kasim menyertai Bersatu selepas Umno kalah dalam PRU14 Mei lalu.– Gambar Facebook, 3 Oktober, 2018.

RUSLAN Kasim, bekas pemimpin PKR yang kemudian menyertai Umno, telah meninggalkan bekas parti pemerintah itu bagi berkempen untuk Anwar Ibrahim di Pilihan Raya Kecil Port Dickson.

Ruslan, yang merupakan antara pimpinan awal gerakan Reformasi dan bekas ketua penerangan PKR, telah digelar pembelot ketika beliau menyertai Umno pada tahun 2004. Beliau meletak jawatan dalam Umno pada bulan Jun, sebulan selepas kekalahan Barisan Nasional ketika pilihan raya umum 9 Mei.lalu.

Beliau berkata beliau “tertipu” oleh Umno, dan baru-baru ini memohon maaf daripada Anwar.

“Politik itu dinamik. Saya melihat kerajaan baru dan saya rasa saya mempunyai peranan untuk dimainkan,“kata Ruslan kepada The Malaysian Insight.

“Saya telah minta maaf kepada Anwar dengan sungguh-sungguh atas semua perkara yang saya katakan dan apa yang saya lakukan,” katanya ketika menyampaikan ceramah di Teluk Kemang malam tadi.

Ruslan berkata Presiden PKR itu memberitahunya bahawa semua telah diampunkan dan mahu beliau menyertai Pakatan Harapan.

“Dia berkata, biarlah, yang lepas biarkan berlalu.”

Ruslan meninggalkan Umno pada Jun lalu dan menyertai parti Bersatu bahagian Jempol, Negeri Sembilan.

Beliau berkata beliau akan berkempen di Port Dickson sehingga hari pilihan raya pada 13 Oktober.– 3 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen