Dari Aceh ke Palu: Dukamu abadi


Zainal Rashid Ahmad

Gempa Tsunami Palu meragut ribuan korban nyawa, dan angka itu terus meningkat.– Gambar AFP, 2 Oktober, 2018.

SAAT bumi Aceh bergegar pada 26 Disember 2004, ibu saya baru beberapa minit berlepas dari KLIA menuju Jeddah. Antara penerbangan musim haji tahun pada tahun yang sangat meriah itu.

Pulang dari Sepang ke Shah Alam, Bilik Berita ntv7 sudah gempar dengan kejadian bencana tsunami di Pulau Pinang. Berita demi berita bertalu-talu masuk. Akhirnya, disahkan gempa bumi di Lautan Hindi di luar pantai Aceh, Sumatera.

Ombak besar mencipta tsunami menghala ke Aceh sampai Pulau Pinang. Kemudian datang berita, ombak yang sama membadai Sri Lanka dan Krabi di Thailand. Lewat petang dimaklumkan, ombak gempa turut melanda sejauh ke Somalia di Afrika.

Tiga hari lalu, gempa melanda Sulawesi, Indonesia. Gempa 7.4 skala Richter yang melengkapkan kombinasi 3 gempa besar melanda negara itu dalam tempoh dua bulan, bermula dengan di Lombok pada 29 Julai, Sumbawa (26 Ogos) dan terkini Palu dan Donggala (28 September).

Tengahari kelmarin,misi kemanusiaan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) terbang menuju Palu. Satu langkah kemanusiaan yang menunjukkan budaya solidariti Malaysia yang sentiasa refleksif terhadap krisis di persekitaran.

Setakat ini lebih 1,200 nyawa dilaporkan terkorban di Palu. Manakala, di Donggala, misi menyelamat secara agresif baru bermula hari ini. Angka kematian tidak mustahil akan melebihi 3 ribu nyawa. Ini kesan korban kombinasi runtuhan bangunan dan mangsa tsunami. Wilayah Paru dan Donggala dua kawasan paling parah.

26 Disember 2004, tsunami melanda Aceh menjadikannya salah satu bencana alam yang meragut nyawa paling besar di wilayah ini.– Gambar AFP, 2 Oktober, 2018.

14 tahun lalu, ketika Aceh dilanda gempa 9.2 skala richter, dengan ombak tsunami setinggi 10 meter, korbannya melebihi 250 ribu nyawa, selain lebih 12 ribu maut di Sri Lanka dan lebih 5 ribu nyawa terbunuh di Krabi, Thailand.

Budaya misi kemanusiaan di Malaysia mula berimpak sejak tsunami Aceh. Mercy Malaysia yang sudah matang dan mempunyai pengalaman antarabangsa waktu itu, antara misi bantuan yang awal tiba. Mercy Malaysia yang aktif sejak awal 90-an antara NGO yang sudah memiliki pasukan logistik yang baik dan terlatih.

Ketika saya tiba di Aceh pada hujung Disember 2004 dan berada di sana secara berulang-alik selama 52 hari, kem Mercy Malaysia di pinggir Banda Aceh menjadi tempat persinggahan. Selain berteduh, ia jadi hospital tempat wartawan tempatan mendapatkan rawatan. Pengalaman pasca bencana menyebabkan mudah dijangkiti wabak cirit-birit. Masalah biasa bagi wartawan yang berada di garisan bencana.

Malah, suntikan anti sawan dan jangkitan wabak pun diperolehi di khemah rawatan Mercy Malaysia. Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan pasukan Smart turut berada di sana. Mengukuhkan jenama kemanusiaan negara ini ketika ratusan misi bantuan yang menerpa masuk ke Aceh dikaitkan sebagai berwajah Kristianisasi dan berbau Barat.

Kehadiran misi kemanusiaan global di Aceh turut menyebabkan debat agama yang kontroversi. Misi kemanusiaan negara-negara Barat dicemuh dengan tuduhan melarikan ribuan anak-anak Aceh untuk tujuan Kristianisasi.

Realitinya, ia satu fitnah besar. Namun, ia sukar ditepis kerana sentimen ketakutan umat Islam yang tidak dapat menerima hakikat, bahawa misi bantuan global dari negara Islam sukar diperolehi.

Saya berkhemah bersama misi kemanusiaan Gerakan Tao dari Taiwan serta misi kemanusiaan NGO Itali. Ia bukan asing bagi saya. Ketika berada di Ethiopia dan Somalia, saya sudah biasa berlindung di kem-kem kendalian NGO Eropah. Di negara-negara Islam yang dilanda perang dan krisis kebuluran waktu itu, sebahagian besar misi bantuan kemanusiaan adalah NGO Eropah.

Namun, sekarang keadaan sudah berubah. Umat Islam sudah akrab dan faham mengenai misi kemanusiaan. Apabila bencana berlaku, wang bukan caturan. Keutamaan, ialah menghantar pasukan kemanusiaan dan sebaiknya gerakan NGO.

Puluhan NGO berteraskan Islam kini bertapak aktif di negara ini. Google saja dan menyerlah senarai nama NGO tempatan dan beroperasi hampir di seluruh dunia dengan dana bantuan lebih RM100 juta setahun. Sumber dana ini pula 80 peratus ialah komitmen sumbangan rakyat negara ini.

Mapim sudah bergerak ke Palu. Kita yakin, berpuluh misi lagi akan menyusul ketika krisis kekurangan makanan mula dilaporkan berlaku di Palu dan Donggala. Lebih 350 ribu mangsa gempa dan tsunami kini terdedah pada krisis makanan, kesihatan dan tempat berlindung.

Kita akan menjadikan Palu dan Danggala sebagai jantung dan hati Malaysia selepas ini. Insya-Allah, media massa juga akan beralih arah dengan segera; memberikan tumpuan dan komitmen kepada isu Palu dan Donggala. Selain, melancarkan Tabung Bencana khusus bagi membantu mangsa tragedi ini.

Palu dan Donggala akan melalui detik-detik kritikal dalam dua minggu ini. Selain proses pengumpulan, pengecaman dan pengebumian mayat, misi menyelamat mangsa yang masih tertimbus dalam runtuhan bangunan perlu disegerakan.

Ini masanya, NGO Malaysia terutama yang berteraskan Islam segera menyusun gerak kerja di lokasi bencana selain melancarkan kempen bantuan kemanusiaan di peringkat awam.

Kita doakan Palu dan Donggala segera pulih. Kepada ustaz dan ulama mi segera; berhentilah menyebarkan kebodohan dengan mengaibkan bencana ini sebagai ‘padan muka’ untuk mangsa. Janganlah hukum Allah dipergunakan untuk memenuhi kegilaan nafsu hukum-hakam anda!– 3 Oktober, 2018.

* Zainal Rashid Ahmad ialah wartawan dan penulis sastera yang telah menghasilkan antaranya novel Hikayat Tanah Jauh (2015) dan kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014), Magis Kota (2016), Pop Urban (2017), dan kumpulan puisi Sepi Itu Mati (2016) dan Orang Sepi Pergi ke Gurun (2018). Beliau memenangi 38 hadiah sastera.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen