Patriotisme bukan sekadar kibar bendera, kata warga KL


Noel Achariam

Suasana di Jalan Tuanku Abdul Rahman tanpa sebarang kibaran Jalur Gemilang menyebabkan warga Kuala Lumpur ditegur Menteri Wilayah Persekutuan Tengku Adnan Tengku Mansor kerana dianggap tidak patriotik. – Gambar The Malaysian Insight, 3 Ogos, 2017.

PENDUDUK dan peniaga di Kuala Lumpur mengecam kenyataan Menteri Wilayah Persekutuan Tengku Adnan Tengku Mansor baru-baru ini yang berkata mereka tidak patriotik kerana gagal mengibarkan Jalur Gemilang, kata warga kota yang memilih menunjukkan kesetiaan pada negara dengan cara berbeza.

Presiden Persatuan Penduduk Bukit Bandaraya M. Ali berkata Tengku Adnan atau lebih popular dipanggil Ku Nan tersilap dalam pemantauannya yang penduduk Kuala Lumpur tidak menghargai atau tidak patriotik hanya kerana ramai tidak mengibarkan bendera negara sempena sambutan Merdeka.

“Patriotisme dan kesetiaan dalam pelbagai bentuk iaitu komited, bertanggungjawab, sayang pada ibu kota ini dan ambil peduli terhadap negara.

“Kami semua komited kepada negara ini kerana ini negara kami, rumah kami,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Ali berkata ramai penduduk Kuala Lumpur tidak senang dengan pemimpin, tetapi terus setia dan patriotik kepada negara.

“Jika rakyat tidak gembira, itu kerana kekecohan yang kerajaan buat.

“Mereka tidak boleh cakap mengenai rakyat tidak patriotik sedangkan ahli politik boleh buat apa saja yang tidak memberi kepentingan kepada rakyat.

“Ia mungkin tanda tidak puas hati dengan ahli politik dan pihak berkuasa yang menguruskan ibu kota ini terhadap pelbagai isu,” katanya.

Ku Nan berkata beliau kecewa dengan sikap penduduk dan peniaga yang gagal mengibarkan Jalur Gemilang dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) juga akan mengurangkan agihan bendera percuma kerana ia hanya dibazirkan.

Suri rumah Maria Isa, 38, berkata beliau mengibarkan Jalur Gemilang di rumahnya di flet kos rendah di Jalan Genting Klang selama bertahun-tahun.

“Sejak pindah ke sini tujuh tahun lalu, kami kibar bendera setiap tahun.

“Apa yang Ku Nan cakap tidak betul. Terpulang kepada individu hendak pasang bendera atau tidak.

“Tidak kibar bendera tidak bermakna mereka tidak patriotik,” katanya.

Ahmad Hassan yang bekerja di kedai buku di Jalan Tuanku Abdul Rahman berkata banyak kedai di pusat bandar dimiliki warga asing, itu sebabnya mereka tidak pasang bendera negara.

Katanya, sebelum Ku Nan hendak buat andaian terhadap warga Kuala Lumpur, beliau sepatutnya pergi buat tinjauan di kawasan itu dan lihat sendiri mengapa orang ramai tidak memasang bendera.

“Kalau beliau tidak berhubung dengan orang ramai di sini, bagaimana hendak tahu apa yang berlaku,” katanya.

Peniaga, Chow Chin Hoay yang membuka kedai kraf tangan berkata beliau sedang bersedia memasang bendera kerana kedainya itu tidak pernah gagal berbuat demikian setiap tahun.

“Tidak betul bila kata kami tidak mengibarkan Jalur Gemilang. Kami hantar bendera untuk dicuci dan akan memasangnya dalam tempoh beberapa hari lagi,” katanya. – 8 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen