Sabah, Sarawak desak kerajaan persekutuan pulangkan sektor pelancongan


Jason Santos

Masidi berkata memorandum bersama ditandatangani ketua menteri daripada kedua-dua negeri itu berhubung Cukai Pelancongan, antara lain memasukkan 'syor' untuk kerajaan persekutuan memulangkan pelancongan kepada pentadbiran negeri. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Ogos, 2017.

SABAH dan Sarawak mendesak “pelancongan” dikembalikan di bawah pentadbiran dan kuasa kerajaan negeri, kata Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Masidi Manjun.

Beliau berkata memorandum bersama ditandatangani ketua menteri daripada kedua-dua negeri itu berhubung Cukai Pelancongan, antara lain memasukkan “syor” untuk kerajaan persekutuan memulangkan pelancongan kepada pentadbiran negeri.

“Kami mengemukakan syor itu dalam memorandum bersama. Kami juga minta kerajaan persekutuan menangguhkan pelaksanaan cukai baharu hingga Mac tahun depan kerana pada masa itu pengendali pelancongan akan membuka akaun tahunan baharu,” katanya.

Masidi berkata demikian ketika memberi respons terhadap soalan dibangkitkan Adun Kapayan daripada DAP Dr Edwin Bosi hari ini.

Pelancongan tersenarai sebagai perkara 25A di bawah senarai persekutuan dalam Jadual Kesembilan, selepas ia diserahkan di Parlimen dengan penyertaan ahli Parlimen kedua-dua negeri pada 1994.

Memorandum bersama itu diserahkan kepada kerajaan persekutuan susulan mesyuarat antara menteri pelancongan Sabah dan Sarawak pada 4 Julai lalu.

Masidi berkata pendirian Sabah membantah cukai pelancongan jelas walaupun sebelum ia diluluskan di Parlimen pada April lalu.

“Kami juga menyatakan bantahan terhadap cukai itu ketika mesyuarat Jawatankuasa Pembangunan Pelancongan Malaysia tahun lalu,” katanya.

Bagaimanapun, kerajaan persekutuan tetap meluluskan Akta Cukai Pelancongan di Parlimen, menyebabkan menteri dari Malaysia timur itu mengadakan pertemuan dan mengeluarkan memorandum bersama itu.

“Kami tidak lagi membantah pelaksanaan cukai itu, tetapi kecewa kerana kerajaan persekutuan tidak ada usaha untuk berunding dengan kerajaan negeri berhubung perkara itu,” katanya.

Masidi berkata mereka juga kecewa dengan perubahan dibuat Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Nazri Aziz berhubung pengagihan pendapatan hasil kutipan cukai itu.

Katanya, Nazri pada mulanya berkata pendapatan itu dibahagikan antara Sabah, Sarawak dan semenanjung Malaysia tetapi kemudian menyatakan di Parlimen, negeri akan hanya mendapat 10% daripada setiap kutipan RM10.

Tetapi, katanya masih ada ruang untuk kedua-dua pihak berkompromi berhubung perkara itu kerana Jabatan Kastam masih belum memulakan proses pelaksanaan cukai. – 8 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen