KETIKA angka kematian terus meningkat dalam kejadian keracunan alkohol, pihak berkuasa mempersoalkan mengapa minuman keras murah dan kedai menjualnya semakin bertambah walaupun ia jelas berbahaya terhadap kesihatan.
Jawapannya mudah; tanpa permintaan, tiada bekalan.
Dalam masa dua minggu, 40 orang meninggal dunia di Lembah Klang akibat meminum alkohol tercemar dengan metanol, dan jumlah itu dijangka terus meningkat.
Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata setakat 27 September, 24 kematian direkodkan di Selangor, dengan 11 lagi di Kuala Lumpur.
Antara yang maut, 25 orang pekerja asing iaitu 11 dari Myanmar, diikuti Nepal (10), Bangladesh (2) dan India (2).
Minuman keras murah itu popular bagi kebanyakan pekerja asing di negara ini kerana mampu dibeli, mudah diperoleh dan kandungan alkohol yang tinggi.
Menurut pemerhatian The Malaysian Insight di sebuah kawasan perumahan di Segambut dan sekitar pasar borong Selayang, terdapat sekurang-kurangnya tujuh kedai menjual arak murah.
Di satu kedai berhampiran pasar borong Selayang, yang tidak mempunyai sebarang papan tanda, kelihatan kira-kira 40 pelanggan memasukinya dalam sehari, dengan setiap daripada mereka membelanjakan sekitar RM10 secara purata membeli alkohol.
Ditanya sama ada perniagaan terjejas dengan insiden arak beracun, pemilik kedai warga emas yang tidak mahu dinamakan berkata, “Tidak sama sekali”.
“Secara jujur, kami tidak bimbang tentang buruh asing (tidak membeli), mereka lebih bimbang kalau kami tidak menjualnya.”
Beliau berkata Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), polis dan Jabatan Kastam kerap menjalankan pemeriksaan kerap sejak kejadian keracunan itu, tetapi semua minuman keras yang dijual di kedai itu sah dan beliau tidak menghadapi sebarang masalah. – 2 Oktober, 2018.
Komen