MENTERI Pendidikan Dr Maszlee Malik menggalakkan pelajar di sekolah jenis kebangsaan menonton filem P Ramlee atau Upin & Ipin bagi memperbaiki dan memperkukuhkan Bahasa Melayu.
Beliau berkata, melalui proses pengajaran dan pembelajaran bahasa kebangsaan dengan cara yang santai dan menyeronokkan itu, pelajar dari Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) mahupun Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) tidak berasa bosan atau terpaksa.
“Sebab itu saya cadang tayangkan cerita P Ramlee dan Upin & Upin, kerana ia menggunakan Bahasa Melayu yang betul, di samping mengetengahkan konsep perpaduan.
“Perbanyakkan lagi program-program kebudayaan agar pelajar lebih santai dan mereka akan belajar secara natural, bukan untuk menghadapi peperiksaan semata-mata.
“Ini sekali gus mengurangkan rasa beban mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Forum Kebangsaan Peningkatan Standard Bahasa Melayu SJKC di Pusat Konsvensyen HGH, Sentul di Kuala Lumpur hari ini.
Katanya, penghayatan terhadap sesuatu bahasa itu perlu dilakukan tanpa dipaksa dan tidak hanya diukur berdasarkan peperiksaan sahaja.
“Sebab itu saya tekankan di SJKC dan mana-mana sekolah perlu menjadikan proses pembelajaran Bahasa Melayu menyeronokkan dan bukan membebankan hingga akhirnya menarik pelajar,” katanya. – 2 Oktober, 2018.
Komen