CALON bebas bagi pilihan raya kecil (PRK) Port Dickson Saiful Bukhari Azlan berkata beliau hanya memerlukan 30% undi daripada keseluruhan 75,770 pengundi di kawasan itu.
Bekas pembantu yang dikaitkan dengan kes liwat Ketua Umum PKR Anwar Ibrahim itu turut menjangkakan beliau mampu menang kerusi Port Dickson jika peratusan keluar mengundi di bawah 50%.
“Saya boleh menang jika dapat 30% undi dan peratusan keluar mengundi sekitar 49%,” katanya, dalam wawancara bersama The Malaysian Insight, hari ini.
Pemilik syarikat data politik itu turut mensasarkan untuk mendapatkan undi kira-kira 40% ahli Umno di Port Dickson.
“Kajian kami menunjukkan Mohd Isa Samad sedang mendahului di Port Dickson. Jadi mungkin beliau boleh dapat 60% undi ahli Umno. Saya hanya perlu dapatkan baki 40%,” katanya, merujuk kepada bekas menteri besar Negeri Sembilan, yang juga bertanding sebagai calon bebas dalam PRK Port Dickson.
“Masalahnya sekarang saya kena turun dan dapatkan undi mereka.”
Parlimen Port Dickson mempunyai seramai 68,486 pengundi biasa, 6,690 anggota tentera, dan 578 pengundi daripada anggota polis.
PAS meletakkan calon veteran tentera udara berpangkat leftenan kolonel, Mohd Nazari Mokhtar dalam usaha menarik sokongan pengundi tentera.
Selain Saiful dan Isa, tiga lagi calon yang bertanding atas tiket bebas adalah Lau Seck Yan, Stevie Chan, dan Kan Chee Yuen.
Saiful juga mengakui berdepan kekangan dana yang terhad dalam menjalankan kempennya.

Bapa kepada dua anak lelaki itu menggunakan jentera terdiri daripada kakitangan syarikat miliknya, dan isteri yang turut mempunyai syarikat perunding politik.
Tanpa bantuan kewangan, Saiful juga berkata pihaknya akan menganjurkan majlis kutipan dana bagi menampung kos sepanjang tempoh berkempen.
“Tiada orang di belakang saya. Bajet saya pun terhad. Jadi saya akan anjurkan kempen kutipan dana bagi membantu saya dalam PRK ini,” katanya.
Bagi PRK ini, pihaknya juga tidak mengeluarkan sebarang kain rentang besar-besaran, sebaliknya hanya poster bersaiz A4 berwarna biru, tertera gambarnya dan logo kunci serta slogan “Ke Arah Kestabilan” yang digunakan dalam pertandingan tersebut.
“Komitmen yang saya akan berikan kepada pengundi di Port Dickson adalah janji tidak akan letak jawatan selepas menang.
“Saya tawarkan diri sebagai calon bebas. Tiada kaitan mana-mana parti politik dan tiada agenda parti politik,” katanya lagi.
Penyertaannya juga sebagai isyarat kepada ahli politik agar tidak mempergunakan rakyat demi agenda peribadi mereka.
“Sebagai rakyat biasa, kita nak beri isyarat kepada ahli politik. Saya mewakili rakyat biasa, bertanding bebas dan tidak sertai mana-mana parti, kita mahu cabar amalan ini,” katanya. – 2 Oktober, 2018.
Komen