WARGANEGARA Syria, Hassan al Kontar yang sering berlegar-legar di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) ditahan polis selepas berada di kawasan larangan lapangan terbang.
Perkara itu disahkan oleh Ketua Pengarah Imigresen Mustafar Ali yang turut memberitahu, beliau ditahan selepas tidak dibenarkan masuk ke Kemboja.
“Dia masuk ke Malaysia, selepas tamat tempohnya (visa) ke Kemboja tetapi tidak dibenarkan masuk atas sebab-sebab tertentu.
“Dia berada kawasan larangan di klia2 apabila tidak mempunyai pas masuk dan visa. Semalam polis ambil tindakan. Selepas disiasat, dia akan diserahkan kepada imigresen,” katanya selepas pelancaran Pas dan Visa Baharu Malaysia, di ibu pejabat Jabatan Imigresen, Putrajaya, hari ini.
Mustafar berkata pihaknya akan bekerjasama dengan Kedutaan Syria untuk membawa Hassan pulang ke negara asalnya.
Beliau berkata individu tersebut turut mengeluarkan pelbagai kenyataan di media sosial untuk memalukan negara.
Hassan merupakan warganegara Syria yang pernah menjadi perbualan hangat dalam media selepas beliau “terperangkap” di Klia2 selama tujuh bulan sejak 7 Mac lalu.
Beliau menjadi terkenal apabila sering memuat naik pelbagai kenyataan dan video di beberapa laman sosial untuk berkongsi kehidupannya di lapangan terbang itu.
Pada 2006, beliau berhijrah dari Syria ke Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dan bekerja sebagai ejen pemasaran insurans.
Tempoh permit bekerjanya tamat tempoh pada 2011, tetapi pihak Syria pula enggan memperbaharui pasportnya.
Disebabkan takut berhadapan krisis pergolakan politik di Syria yang meletus pada 2010, beliau tinggal secara haram di UAE.

Pada 2017, beliau ke Malaysia dan pada waktu itu, beliau cuba untuk ke Ecuador walaupun tanpa visa tetapi dihalang oleh Turkish Airlines untuk berlepas tanpa alasan yang munasabah.
Kemudian, beliau sekali lagi cuba untuk ke Kemboja dan dihalang oleh pihak berkuasa di sana sebelum kembali ke Malaysia dan menumpang di Klia2.
Memetik laporan daripada The Phnom Penh Post, beliau tidak dibenarkan masuk ke Kemboja kerana tidak mempunyai wang yang mencukupi dan tidak tahu untuk tinggal di mana.
Bermula dari situ, beliau hidup sebagai “gelandangan” di Klia2.
Sebelum ini, bekas timbalan menteri dalam negeri Nur Jazlan Mohamed pernah memberitahu akan memberikan beliau pas sementara lelaki terbabit lulus tapisan keselamatan dan saringan kesihatan oleh Pasukan Petugas Khas Program Penempatan Migran Syria di Malaysia.
Beliau berkata pihaknya akan mempertimbangkan perkara itu mengikut Program Penempatan Migran Syria di Malaysia yang diperkenalkan kerajaan sejak dua tahun lalu.
Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNCHR) pernah menawarkan bantuan untuk membawa beliau ke Kanada tetapi, dalam satu video di laman Twitter, beliau mendakwa tidak mendapat sebarang bantuan daripada UNHCR.
Hassan tidur di atas kerusi, mandi di tandas Klia2 pada waktu tengah malam dan diberi makanan percuma oleh pekerja-pekerja di lapangan terbang tersebut.
Beliau juga pernah cuba membuat permohonan kepada Pentadbiran Angkasa dan Aeronautik Negara (NASA) untuk ke planet Marikh.
Kisah Hassan ini seperti sebuah filem lakonan Tom Hanks berjudul The Terminal, dan seorang pelarian dari Iran Mehran Karimi Nasseri, pernah menumpang di Terminal Satu, Lapangan Terbang Antarabangsa Charles de Gaulle, Perancis dari Ogos 1988 hingga Julai 2006. – 2 Oktober, 2018.
Komen