‘Guru hero’ akan kembali, kata Maszlee


Yasmin Ramlan

Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik tersenyum ketika diminta bergambar bersama pada program Forum Peningkatan Standard Bahasa Melayu SJKC di Pusat Konvensyen HGH Sentul, Kuala Lumpur hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 2 Oktober, 2018.

MENTERI Pendidikan Dr Maszlee Malik berkata berita baik bakal diumumkan pada awal tahun depan untuk guru berhubung bebanan kerja pentadbiran.

Maszlee berkata pihaknya sedang berusaha untuk menyelesaikan perkara itu kerana beliau berpendapat, untuk menghasilkan “guru hero” seperti guru zaman sebelum ini, bebanan kerja pentadbiran yang sepatutnya bukan ditugaskan untuk mereka perlu dikurangkan.

“Saya mengimpikan supaya kita mengembalikan zaman kegemilangan guru. Apabila ada guru yang menjadi ‘hero teacher’.

“Saya rasa mereka daripada generasi terdahulu masih mempunyai ‘guru hero’. Kenapa? Kerana guru pada masa dulu cintakan kerjaya mereka.

“Mereka mengajar kita, mereka sayang kita seperti anak sendiri dan apabila mengajar kita, mereka mahukan kita belajar daripadanya. Mereka mahukan kita untuk berjaya,” katanya pada sidang media di Forum Peningkatan Standard Bahasa Melayu SJKC di Pusat Konvensyen HGH Sentul, Kuala Lumpur hari ini.

Maszlee berkata disebabkan bebanan kerja pentadbiran yang berada di luar bidang perguruan ini membuatkan negara kehilangan guru adiwira.

“Perkara ini (guru hero) sudah mula hilang daripada guru hari ini kerana mereka dibebani dengan kerja perkeranian. Kita harus ubah semua ini, kita perlu pulangkan kegemilangan guru seperti sebelum ini dan kita akan nampak itu tak lama lagi,” katanya.

Beliau berkata kementerian sedang menyediakan pelan strategik untuk meringankan beban tersebut dan ia akan dibentangkan pada Disember.

“Saya rasa akan ada berita baik untuk guru pada awal tahun depan. Pegawai saya dan penyelidik sedang cuba sebaik mungkin untuk mengkaji bagaimana mengurangkan beban guru supaya mereka tidak perlu lagi lakukan kerja perkeranian,” katanya.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai nasib pelajar tahfiz di Kepong yang dipercayai diliwat oleh pengetua sekolah mereka, Maszlee berkata kes itu pada masa ini tidak berada di bawah kementeriannya, sebaliknya diuruskan oleh pihak badan bukan organisasi.

Beliau berkata NGO yang mengambil berat berhubung isu tersebut mengadakan satu pertemuan dengan pihaknya dan usaha pemulihan juga telah dilakukan. – 2 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen