Pendengaran RCI skandal forex Bank Negara 21 Ogos


Bede Hong

Peguam Dr Mahathir Mohamad, Haniff Khatri (kiri) dan R. Sivarasa (kanan) bercakap kepada pemberita selepas sesi pertama pendengaran Suruhanjaya Siasatan Diraja kerugian forex Bank Negara Malaysia di Mahkamah Putrajaya hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 8 Ogos, 2017.

SURUHANJAYA Siasatan Diraja (RCI) akan mula bersidang pada 21 Ogos ini untuk menyiasat kerugian perdagangan mata wang (forex) yang berlaku semasa pentadbiran Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri hampir tiga dekad lalu.

Tarikh pendengaran itu ditetapkan ketua panel pesuruhjaya siasatan, bekas ketua setiausaha negara Mohd Sidek Hassan di Istana Kehakiman, Putrajaya hari ini.

Sidek yang juga pengerusi Petronas turut memaklumkan batas siasatan.

“Memandangkan masa yang suntuk, suruhanjaya ini akan bertumpu pada terma-terma rujukan dan tidak akan membenarkan sebarang campur tangan atau mana-mana pihak yang tidak ada kaitan dengan terma-terma rujukan,” katanya.

Panel enam anggota itu turut dianggotai Hakim Mahkamah Tinggi, Kamaludin Md Said; Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia Berhad, Tajuddin Atan; pengerusi bersama Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan, Saw Choo Boon; akauntan K Pushpanathan dan Setiausaha Bahagian Pelaburan Strategik Kementerian Kewangan, Dr Yusof Ismail.

Bidang kuasa suruhanjaya itu adalah:

i. Menentukan kesahihan dakwaan mengenai kerugian akibat urus niaga mata wang asing yang dialami Bank Negara Malaysia (BNM) sekitar tahun 1990-an serta implikasinya kepada ekonomi negara.

ii Menentukan sama ada penglibatan BNM dalam aktiviti urus niaga mata wang asing yang menyebabkan kerugian tersebut adalah bertentangan dengan Ordinan Bank Pusat 1958 atau mana-mana undang-undang yang berkaitan.

iii. Menentukan sama ada terdapat elemen menyembunyikan fakta dan maklumat sebenar berhubung kerugian BNM dalam aktiviti urus niaga mata wang asing itu dan memberikan kenyataan yang mengelirukan kepada Jemaah Menteri, Parlimen dan rakyat.

iv. Mengesyorkan tindakan yang sesuai untuk diambil terhadap pihak-pihak yang terlibat secara langsung dan/atau tidak langsung jika didapati mereka menyebabkan kerugian BNM serta menyembunyikan fakta dan maklumat sebenar berhubung kerugian itu; dan

v. Mengesyorkan langkah-langkah bagi memastikan perkara yang sama tidak berulang.

Sidek juga menetapkan tarikh pendengaran yang lain selama lapan hari antara 24 Ogos hingga 20 September.

“Pesuruhjaya ada kuasa untuk mendapatkan dan menerima semua bukti dan memeriksa mana-mana pihak sebagai saksi,” katanya.

Sidek juga memaklumkan siasatan ini akan selesai dan laporannya diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong sebelum 13 Oktober ini, iaitu tiga bulan seperti mandat yang diberikan.

Bekas penolong pengarah BNM Abdul Murad Khalid dalam wawancara dengan New Straits Times pada Jun, bank pusat bank mengalami kerugian dalam urus niaga tukaran mata wang asing kira-kira AS$10 bilion pada awal 1990-an.

BNM dilaporkan kerugian berbilion ringgit antara 1991 hingga 1994, sebelum diselamatkan Kementerian Kewangan.

Dalam temu bual dengan The Malaysian Insight, Dr Mahathir menegaskan kerugiannya sebanyak RM10 bilion dan menafikan mengetahui urus niaga melibatkan BNM itu.

Beliau sebaliknya menyalahkan kepada bekas gabenor BNM, Jaafar Hussein, dan penolong gabenor ketika itu, Nor Mohamed Yakcop. – 8 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen