MALAYSIA harus menghapuskan prosedur operasi biasa (SOP) untuk membenarkan perkahwinan kanak-kanak, dan naikkan had umur perkahwinan kepada 18 tahun, kata wakil khas Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB)
“Ia berada dalam tangan kebijaksanaan kerajaan,” kata Maud de Boer Buquicchio.
de Boer Buquicchio yang menyelesaikan jadual lawatan lapan hari di Malaysia berucap di hadapan beberapa pihak berkuasa, kumpulan masyarakat dan pimpinan agama, berkata kerajaan harus bertemu dengan pimpinan agama dan hak-hak adat untuk memujuk mereka tentang kesan negatif daripada perkahwinan kanak-kanak.
“Dengan mengahwinkan mereka dalam usia muda, anda menyekat mereka daripada mendapat hak pendidikan, dan perlindungan..”
Beliau turut berkata kemiskinan menjadi faktor utama perkahwinan kanak-kanak di samping struktur patriarki di Malaysia juga terus menjadi fenomena di sini.
“Wanita terus dilayan sebagai komoditi dan ketika keluarga itu miskin, mereka dikahwinkan bagi menyenangkan situasi kewangan mereka. Untuk membasmi hal ini, harus ada perbincangan dengan pimpinan agama.
“Saya telah bertemu dengan beberapa pihak berkuasa agama yang mempunyai pemikiran terbuka. Walaupun mereka yakin dengan perbahasannya, mereka kata ia akan ambil masa. Di pihak PBB pula, kami harap Malaysia dapat menaikkan had umur perkahwinan secepat mungkin,” kata de Boer Buquicchio.
Wakil khas itu berkata kerajaan perlu memastikan semua kanak-kanak didokumentasi dengan baik.

“Tidak harus ada kanak-kanak yang dibiarkan tanpa identiti. Ketika mereka tidak mempunyai dokumen, mereka tidak ada akses pendidikan, kesihatan dan perlindungan yang ditawarkan kerajaan.
Kelahiran kanak-kanak warga asing di Malaysia tidak didokumenkan.
de Boer Buquicchio, yang sempat melawat pusat tahanan warga asing di Kuala Lumpur berkata Malaysia harus membaiki sistem laporan kerana wujud data yang tidak konsisten mengenai perkahwinan kanak-kanak, kanak-kanak yang tidak mempunyai dokumen dan penyeludupan manusia.
“Ketika saya diberikan data mengenai penyeludupan manusia, ia tidak dipisahkan dan tidak ada cara untuk tahu berapa ramai kanak-kanak dalam data itu,” tambahnya lagi.
Beliau berkata, satu lagi perkara yang boleh dibaiki ialah dengan memastikan layanan baik terhadap kanak-kanak yang dilahirkan pendatang haram di negara ini.
Beliau berkata pada bulan Ogos 2018 sahaja, sejumlah 46,520 kanak-kanak daripada 161,140 pelarian dan pemohon suaka berada di pusat-pusat tahanan.
de Boer Buquicchio, yang akan membentangkan penemuannya kepada PBB pada Mac 2019, memuji Malaysia berkenaan Akta Serangan Seksual Terhadap Kanak-kanak dan penubuhan dua mahkamah khas untuk kanak-kanak. – 1 Oktober, 2018.
Komen