Tuntutan bedah siasat kedua dituntut abang CEO Cradle Fund, kata polis


Alfian Z.M. Tahir

Mayat CEO Cradle Fund Nazrin Hassan akan digali semula untuk bedah siasat kedua. – Gambar fail The Malaysian Insigt,1 Oktober, 2018.

PENGGALIAN semula mayat Pengarah Eksekutif (CEO) Cradle Fund Nazrin Hassan dimohon pihak polis selepas abang kandungnya mahu bedah siasat kedua dilakukan, kata polis hari ini.

“Beliau mahu bedah siasat kedua, mengikut laporan, polis meminta nasihat pendakwaraya negeri dan bersetuju untuk memohon penggalian semula mayat.”

Setakat ini, siasatan pembunuhan itu menyaksikan penahanan balu Nazrin dan bekas suaminya, dua anak tiri lelakinya, serta kakak dan abang iparnya.

Kesemua suspek setakat ini adalah terdiri daripada keluarga balunya.

Polis hari ini berjaya mendapat kebenaran mahkamah majistret Petaling Jaya untuk menggali semula kubur Nazrin. Proses itu akan berlaku Rabu ini.

Minggu lepas, polis menahan ipar Nazrin dan suaminya.

Sebelum itu, polis menahan anak tiri Nazrin yang merupakan pemanah sekolah.

Dilaporkan yang terdapat kecederaan di leher Nazrin, dipercayai berpunca daripada anak panah. Polis turut menemui senjata yang dipercayai digunakan untuk membunuh Nazrin dalam sebuah bed alatan memanah ditemui di rumah suspek.

Polis sebelum itu menahan balu Nazrin dan bekas suaminya. Semua mereka sudah dibebaskan dengan jaminan.

Balunya yang berusia 43 tahun adalah eksekutif kanan di Perbadanan Harta Inteletek Malaysia.

Nazrin ditemui mati dalam bilik tidurnya di rumah dua tingkat di Mutiara Damansara yang terbakar pada 14 Jun lalu, sehari sebelum Hari Raya.

Keluarganya mendakwa kebakaran berlaku disebabkan letupan telefon bimbit Nazrin. Cradle Fund turut mengeluarkan kenyataan yang CEO mereka terbunuh kerana letupan disebabkan telefon bimbin yang dicaj di tepi katilnya.

Bagaimanapun, bulan lepas, polis mengelaskan semula kes itu sebagai kes pembunuhan selepas mendapati wujud kesan petrol dalam bilik itu.

Motif pembunuhan masih belum dikenal pasti. – 1 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen