KUMPULAN yang menyokong dan menentang Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) ‘bertempur’ habis-habisan untuk memberi pandangan mereka pada forum yang dianjurkan oleh kerajaan negeri di Dewan Sri Pinang semalam.
Pengerusi Persatuan Penduduk Tanjung Bungah Meenakshi Raman yang lantang menentang pelan itu, berkata pemandu kenderaan terutamanya kereta memerlukan pemandangan hijau yang terdapat di Pulau Pinang bagi keselesaan mereka semasa memandu.
“Apabila anda membuka tingkap, bukit dan pokok yang selama ini dilihat telah tiada. Anda hanya akan dapat melihat pemandangan lebuh raya yang mempunyai penghadang bunyi dan keadaan ini tidak elok,” katanya
Beliau merujuk kepada cadangan pembinaan Jalan Berkembar Persisiran Utara (NCPR), satu daripada lebih raya yang akan dibangunkan sebagai jalan alternatif menghubungkan Teluk Bahang dan Tanjung Bungah di utara pulau tersebut.
Meenakshi berkata mereka yang membantah PTMP bukan tidak mempunyai alasan kukuh sebaliknya mahu penyelesaian yang adil bagi masalah kesesakan trafik.
Sesi soal jawab yang berlangsung selama dua jam itu diadakan bersama Ketua Menteri Chow Kon Yeow, wakil projek daripada SRS Consortium dan beberapa pihak lain yang terlibat dalam pelan utama projek itu.

Kebanyakan pihak yang membantah projek itu membangkitkan kebimbangan tentang masalah pencemaran udara dan bunyi, kesan terhadap sosial dan alam sekitar selain kos pembinaan infrastruktur.
Katherine Chua, seorang pemain industri pelancongan di Pulau Pinang menyuarakan kebimbangan tentang pembinaan terowong bagi Lebuh Raya PIL1 dan ancaman banjir serta tanah runtuh di negeri itu.
Katanya pembinaan projek mega lebuh raya boleh memberi kesan kepada jumlah kehadiran pelancong yang kini semakin menurun di Pulau Pinang.
“Kita mahu pelan pengangkutan, bukan pelan jalan raya. Bagaimanapun kita boleh mencapai objektif menjaga alam sekitar? Berapa banyak pokok perlu ditebang untuk projek ini?” katanya.
Bagaimanapun Chua meminta kerajaan negeri untuk membantu mengubah pemikiran rakyat agar kurangkan memandu dan memilih pengangkutan awam.
Bagi penduduk Gelugor yang hanya dikenali sebagai Chan, pelaksanaan PTMP merupakan cara untuk menyelesaikan masalah kesesakan trafik di Pulau Pinang yang kini semakin teruk.
“Penduduk Pulau Pinang yang sebelum ini berbangga kerana mempunyai trafik lancar berbanding KL, kini turut terperangkap dalam kesesakan selama beberapa jam.
“Kenapa projek PIL1 dan LRT belum lagi dilaksanakan? Sila mulakan sekarang. Kami mahu menghabiskan lebih banyak masa bersama keluarga, bukannya ketika mengharungi kesesakan trafik,” katanya.
Berita penuh di sini.
Komen