AHLI Majlis Tertinggi Umno Lokman Noor Adam perlu menggunakan modal berbeza daripada terus membangkitkan isu sodomi, kata Anwar Ibrahim hari ini.
Calon Pilihan Raya Kecil Parlimen Port Dickson itu berkata Lokman dan Umno pastinya sudah kehabisan idea jika mereka terus menggunakan tuduhan yang sama terhadap dirinya.
“Ia (kes sodomi) sudah 20 tahun lalu. Carilah modal lain,” kata Anwar pada sidang media.
Lokman menuduh Anwar meliwat seorang pelajar Indonesia di Singapura baru-baru ini, kononnya dilaporkan portal berita Singapura, Berita Mediacorp.
Portal itu bagaimanapun mengeluarkan penafian dan Lokman memadam tuduhan tersebut daripada laman Facebooknya.
Anwar berkata Lokman perlu meminta kepada beliau dan Berita Mediacorp kerana merosakkan imej mereka.
“Jika berani, beliau perlu minta maaf,” kata Anwar yang juga merupakan bakal Presiden PKR.

PKR bagaimanapun mengambil serius perkara itu.
Pengarah komunikasi parti itu, Fahmi Fadzil hari ini membuat laporan polis ke atas Lokman di Port Dickson dan mendakwa kenyataan palsu itu sengaja dikeluarkan untuk mengganggu kempen Anwar.
“Ini merupakan tuduhan liar Umno yang tidak bertanding di Port Dickson. Ternyata Umno takut,” katanya.
Dalam entri Facebook Lokman, beliau mendakwa pelajar yang kononnya diliwat Anwar telah membuat laporan polis dan kini dirawat di hospital dengan pengawasan polis.
Berita Mediacorp menuntut Lokman untuk menjelaskan perkara itu dan berkata polis Singapura tidak mengetahui kes tersebut.
Lokman merupakan bekas pembantu Anwar ketika era reformasi bermula pada 1998 dan meninggalkan PKR untuk kembali bersama Umno. – 1 Oktober, 2018.
Komen