BAKAL Presiden PKR Anwar Ibrahim berkata Abdul Hadi Awang meremehkan tindakannya melawat ke rumah ibadat bukan Islam.
Calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson itu berkata Islam tidak melarang umatnya melawat mana-mana rumah ibadat.
“Saya bukannya hendak sembahyang di kuil. Saya hanya menghadiri program di kawasan kuil. Saya akan terus melakukannya,” kata Anwar pada sidang media hari ini, beberapa jam selepas Hadi yang juga presiden PAS mempertikaikan kunjungan seumpama itu.
Anwar melawat tokong Cina semalam ketika berkempen dan sebelum ini pernah menari dalam satu acara kebudayaan anjuran masyarakat India.
Hadi pada ceramah PAS malam tadi berkata Anwar seorang yang oportunis dan pelakon yang tidak boleh dipercayai.
Ahli Parlimen Marang itu berkata Anwar jadi seperti Cina bila masuk ke tokong dan jadi India bila ke kuil, sedangkan seseorang Muslim perlu konsisten.
Anwar yang juga bekas timbalan perdana menteri berkata Islam tidak melarang sesiapa berinteraksi dengan individu berbeza fahaman.
“Amat penting untuk kita sedar bahawa dalam Islam, ia tidak menghalang kita daripada menghormati agama lain dan menghadiri programnya,” kata Anwar.
Anwar menyelar semula Hadi, mendakwa ahli PAS pun menghadiri acara di tokong ketika zaman Pakatan Rakyat yang kini sudah terkubur.
“Ada ramai ahli PAS dulu ikut saya dalam Pakatan Rakyat. Baru sekarang mereka kata tak boleh,” katanya.
Hadi mengecam Anwar, berkata pemimpin PKR itu tidak berani bertanding di kerusi majoriti Melayu.
“Memilih kawasan 60% bukan Islam. Kenapa tak berani tanding di kawasan majoriti Islam?” soal Hadi.
Anwar bertanding tujuh penjuru dalam PRK Port Dickson, bagi membolehkannya kembali ke Parlimen.
Parlimen Port Dickson mempunyai 75,212 pengundi berdaftar dengan majoriti 42% adalah pengundi Melayu, Cina 33%, dan India 22%. – 1 Oktober, 2018.
Komen