MEREKA berdua berusia 52 tahun dan mempunyai pandangan yang sama terhadap keputusan Presiden PKR Anwar Ibrahim untuk bertanding di Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson yang disifatkan sebagai memenuhi kepentingan politik.
Disebabkan itu, Stevie Chan dan Lau Yeck San memasuki ‘gelanggang’ sebagai calon bebas untuk bertanding pada 13 Oktober ini, menjadikan persaingan tujuh penjuru di PRK tersebut.
Lau yang merupakan bekas guru sekolah menganggap kemungkinan beliau untuk kehilangan deposit sebagai satu daripada pengorbanan sebagai usaha menyampaikan mesej kepada parti politik agar tidak mengambil kesempatan ke atas rakyat Malaysia.
“Rakyat telah ditindas. Ahli politik berfikir mereka terlalu bijak untuk rakyat,” katanya kepada The Malaysian Insight.
“Jika saya kehilangan deposit, ia akan diberikan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), dan Tabung Harapan.”
Ibu kepada empat orang anak itu berkata beliau mengeluarkan duit simpanannya untuk berkempen pada PRK Port Dickson.
“Jentera saya adalah diri, suami dan Tuhan… ramai orang tidak percayakan saya, tetapi itu tidak menjadi masalah. Tiada siapa menaja saya,” kata calon dari Segambut itu.
Bekas ahli Parlimen Port Dickson Danyal Balagopal Abdullah melepaskan kerusi tersebut pada bulan lalu bagi membolehkan Anwar bertanding dan kembali ke Parlimen bagi menjayakan cita-citanya menjadi perdana menteri.
Chan yang mengumumkan sebagai calon bebas selepas pengumuman Danyal, berkata beliau tidak mahu menjadi penghalang kepada Anwar.
“Saya bukan mahu menjadi wira. Apa yang berlaku di Port Dickson adalah bertentangan dengan perjuangan yang kita perolehi pada 9 Mei lalu,” kata calon dari Seremban itu.
“Situasi ini kelihatan seperti akan kembali kepada keangkuhan, penyalahgunaan kuasa yang pernah berlaku sebelum ini.”
Chan dan Lau berkata keputusan untuk bertanding di PRK Port Dickson adalah sebagai usaha mengangkat suara rakyat di Parlimen dan sekiranya menang, mereka tidak akan menyertai mana-mana parti.

“Lihat pada negara ini. Kita mempunyai manifesto tetapi ada saja alasan yang diberikan pada setiap hari. Mengapa kita perlu diperbodohkan dan membiarkan mereka membuat keputusan?
“Saya di sini untuk mendengar permintaan anda dan menjadi suara anda,” kata Lau yang merupakan satu-satunya calon wanita.
Antara calon lain adalah bekas menteri besar Negeri Sembilan Isa Samad, calon PAS Nazari Mokhtar dan bekas pembantu peribadi Anwar Mohd Saiful Bukhari Azlan.
Kerusi tersebut yang sebelum ini dikenali sebagai Teluk Kemang mempunyai 75,212 berdaftar dengan pecahan 42% daripada pengundi Melayu, Cina (33%), and India (22%).
Danyal memenangi kerusi tersebut menerusi majoriti 36,225 undi apabila menewaskan calon MIC V Mogan dan calon PAS Mahfuz Roslan. – 1 Oktober, 2018.
Komen