[VIDEO] Pegawai kanan polis didakwa bunuh Zaharif


SEORANG pegawai kanan polis didakwa di Mahkamah Majistret Ipoh atas pertuduhan membunuh seorang pelajar sekolah menengah, Jumaat lepas.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada Mohd Nazri Abdul Razak, 44 tahun selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret S Punitha kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Tertuduh yang berpangkat Deputi Superintendan (DSP), didakwa melakukan kesalahan membunuh dengan menyebabkan kematian terhadap Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie, 17, berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jati di Ipoh, antara 12.05 tengah hari hingga 12.40 tengah hari, 15 Disember.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman mati atau penjara minimum 30 tahun atau maksimum 40 tahun dan jika dihukum mati hendaklah disebat tidak kurang 12 sebatan.– 18 Disember, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen