[VIDEO] Henti julang Najib, Pakatan terus kempen tolak rasuah, kata Mujahid


Nabihah Hamid Hasmizar Hassan Fikri Ghazali

PEMIMPIN Pakatan Harapan (PH) akan terus beri tumpuan kepada isu rasuah kerana ia perkara teras untuk selamatkan negara, kata Mujahid Yusof Rawa.

Melalui wawancara dengan The Malaysian Insight, naib presiden Amanah berkata bukan kerana PH tidak minat bangkitkan isu lain, tetapi kesan rasuah jauh lebih parah buat negara dan rakyat.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengapa pembangkang asyik bangkitkan isu rasuah sedangkan banyak lagi isu lain.

Ahli Parlimen Parit Buntar itu mnjelaskan yang kesan rasuah akan jadi lebih besar andai pembangkang berdiam diri.

“Ia bukan sebab rasuah sahaja, (tetapi juga) implikasinya. PH akan terus bersuara. Bagi saya tak salah ulangi (isu rasuah) kerana kalau ia berterusan, ia akan meletakkan bangsa saya ke tahap yang menjijikkan dan memalukan bangsa sendiri.

“1MDB kita tanggung bayar berbilion. Kenapa? sebab rasuahlah. Orang tak nak melabur kepada negara kita sebab rasuah. Dalam kes LCS (kapal tempur pesisir), perairan terjejas. Inilah sebab rasuah.

“Mana saya nak letak muka, bangsa saya menjulang (bekas perdana menteri) Najib (Razak) sebagai ‘bosku’ dan wira. Orang Melayu kalau tak cakap tentang rasuah nak cakap tentang apa lagi?” kata bekas menteri hal ehwal agama itu.

Malaysia sebelum ini dilanda skandal 1MDB membabitkan bekas perdana menteri Najib Razak. – 12 Ogos, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen