[VIDEO] Zuraida sertai PBM, jumpa PM mahu letak jawatan menteri


Fikri Ghazali Nabihah Hamid

BEKAS pemimpin PKR Zuraida Kamaruddin dijangka meletak jawatan sebagai menteri dan akan berjumpa dengan Perdana Menteri Ismail Sabri secepat mungkin.

Ia berikutan bekas ahli Parlimen Ampang itu memutuskan untuk menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM).

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi itu berkata beliau akan turut berbincang dengan Perdana Menteri mengenai peranan dan hala tuju PBM dalam memperkasakan Keluarga Malaysia.

Zuraida sebelum ini keluar daripada PKR dan menyertai Bersatu sekali gus mengakibatkan kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan pada Februari 2020.

Beliau dilantik sebagai menteri dalam kerajaan baharu Perikatan Nasional dan mengekalkan jawatannya dalam kabinet selepas Ismail Sabri menggantikan Muhyiddin Yassin pada Ogos tahun lepas.

Terdapat ura-ura beliau akan menyertai PBM dan meninggalkan Bersatu beberapa bulan lepas. Ini menjadi perbualan hangat hingga terdapat desas-desus mengatakan beliau dipecat.

Zuraida menyandang kerusi Ampang selama 14 tahun. Semasa bersama PKR pada 2018, beliau dilantik sebagai menteri perumahan dan pembangunan tempatan, jawatan yang disandangnya sehingga kejatuhan Pakatan Harapan pada 2020 akibat Langkah Sheraton.– 25 Mei, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen