Penghujung 2017, Ampang Park labuh tirai terakhir


Kamal Ariffin Ravin Palanisamy

KUALA LUMPUR akan mengucapkan selamat tinggal kepada kompleks beli belah pertamanya apabila Ampang Park menurunkan tirai terakhirnya pada 31 Disember.

Selepas dibuka sejak 44 tahun lepas di persimpangan Jalan Ampang- Jalan Tun Razak, tempat ikonik itu akan diruntuhkan untuk membuka jalan kepada pembinaan stesyen Ampang Park Jajaran MRT2.

Pemilik dan penyewa Ampang Park tidak mengalah sebelum berjuang apabila 39 daripada mereka melakukan cabaran perundangan pengambil alihan tanah yang dilakukan kerajaan dan MRT Corp pada 8 Januari 2016. Tetapi, permohonan mereka ditolak mahkamah.

Dibuka pada 1973, Ampang Park mencetuskan pembukaan kompleks beli belah lain di Kuala Lumpur. Menempatkan restoran, kedai tukang jahit, kedai komputer dan salon kecantikan yang menjadi tumpuan ketika itu, ia kini dibayangi kemegahan KLCC dan Avenue K terletak berhampiran.

Ketika melawatnya baru-baru ini, The Malaysian Insight mendapati ia masih sibuk dengan aktiviti. Ramai pengunjung melawatnya, melihat dan mengimbau kenangan buat kali terakhir, selain mengambil kesempatan membeli belah sempena jualan penghabisan stok.

Banyak kedai sudah ditutup dan yang masih menjalankan perniagaan masih dikunjungi ramai pelanggan atau berkemas untuk berpindah keluar.

Ada aura kenangan yang menyeliputinya- reka bentuk bertingkat terasingnya, papan tanda retro era 1970-an yang mengingatkan kegemilangan era disko dan seluar kaki kembang.

Pemilik perniagaan dan pengunjung yang ditemui The Malaysian Insight berkongsi kenangan terindah mereka di situ dan rancangan masa depan mereka. – 29 Disember, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen