[VIDEO] Muhyiddin jumpa ketua parti, Zahid tidak hadir?
PERDANA Menteri Muhyiddin Yassin hari ini mengadakan pertemuan dengan ketua parti politik di pejabatnya sebelum mesyuarat Kabinet hari ini, ketika timbul desa-desus beliau akan meletak jawatan.
Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi bagaimanapun tidak hadir meskipun diundang ke mesyuarat yang diadakan di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya.
Sumber memberitahu The Malaysian Insight Muhyiddin sedang membuat beberapa pertimbangan selepas Yang di-Pertuan Agong tidak bersetuju dengan permohonan kerajaan untuk pengisytiharan darurat bagi memerangi pandemik Covid-19.
Presiden PAS Abdul Hadi Awang dan Presiden MIC S. Vigneswaran antara yang kelihatan di Pejabat Perdana Menteri pada jam 10 pagi tadi.
Perdana menteri malam tadi meluangkan masa selama dua jam bersama semua menteri di kediamannya di Kuala Lumpur.
Susulan pertemuan itu, Muhyiddin keluarkan kenyataan bahawa Jemaah Menteri akan membincangkan lebih lanjut titah Yang di-Pertuan Agong mengenai tiada keperluan menguatkuasakan perintah darurat.
Keutamaan Jemaah Menteri sekarang ialah melindungi rakyat daripada wabak Covid-19, tambah beliau. – 26 Oktober, 2020.
Komen