[VIDEO] Tiada maaf bagi Najib, kata Dr Mahathir
NAJIB Razak tidak dapat dimaafkan kerana tindak-tanduknya membuatkan Umno dibenci sehingga parti itu musnah, kata bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.
Dipetik media tempatan,Dr Mahathir berkata tindakan itu malah lebih buruk daripada perdana menteri keenam Abdullah Badawi yang meletak jawatan pada 2009 dan membolehkan Najib mengambil alih jawatan.
Kenyataan terbaru Dr Mahathir mengenai pendiriannya ke atas Najib itu timbul ketika timbul desas-desus bahawa Umno tidak lagi akan menyokong kerajaan Muhyiddin.
Ia dikaitkan dengan tekanan dari Umno ke atas presidennya Ahmad Zahid Hamidi supaya parti itu tidak lagi tunduk kepada Bersatu.
Muhyiddin merupakan antara pemimpin yang dipecat daripada parti sewaktu Najib menjadi perdana menteri dan presiden Umno kerana mempersoalkan kes penyelewengan dalam 1MDB.
Najib merupakan antara pemimpin utama Umno yang diheret ke mahkamah bagi kes rasuah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram berkaitan 1MBD, selepas kalah pilihan raya 2018.
Beberapa lagi pemimpin utama Umno termasuk Ahmad Zahid yang menjadi menteri dalam Kabinet Najib juga kini masih berdepan pelbagai tuduhan penyelewengan di mahkamah.
Kes penyelewengan berkenaan menjadi agenda utama Dr Mahathir dalam usaha menggulingkan penggantinya Najib dalam kempen pilihan raya umum ke 14.– 1 Oktober, 2020.
Komen