Duit ditawar untuk pusat debat, kata Syed Saddiq


Hasnoor Hussain Diyana Ibrahim Chan Kok Leong

KETUA Pemuda Bersatu Syed Saddiq Abdul Rahman sepatutnya hanya membaca saja daripada skrip yang sudah disediakan pada sidang media di Hotel Seri Pacific di Kuala Lumpur semalam.

Tetapi beliau mendedahkan ditawarkan RM5 juta oleh “penasihat kanan perdana menteri” untuk meninggalkan parti Bersatu dan menyambung pengajiannya di Universiti Oxford.

Duit umpan RM5 juta itu sepatutnya dibayar berperingkat: RM500,000 selepas habis sidang media semalam dan baki RM4.5 juta dalam bentuk geran untuk membuka sekolah debat.

Katanya, ketika belajar undang-undang di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, beliau pernah menghantar kertas cadangan kepada kerajaan untuk membuka sekolah debat tidak hanya di Johor tetapi di seluruh Malaysia.

“Ini yang paling mengejutkan kerana mereka tahu saya pernah hantar kertas cadangan untuk buka sekolah debat.

“Mereka kata saya boleh buka dulu sekolah dan bagi pada kawan untuk jaga dan kemudian selepas habis belajar saya boleh ambil kembali sekolah itu,” katanya.

Umpan itu bagaimanapun tidak memerlukan beliau untuk keluar daripada Bersatu dan menyertai parti lain, katanya.

Syed Saddiq berkata beliau tidak menerima tawaran itu serta-merta tetapi merujuknya kepada kawan-kawan dan ahli keluarga untuk nasihat. – 2 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen