[VIDEO] Perniagaan tabung buluh merosot, pemuda OKU tak putus asa


Nabihah Hamid Hasmizar Hassan

WALAUPUN berdepan saat sukar ekoran perniagaan tabung buluhnya merosot, Mohd Helmy Sai, 35, tidak pernah kenal putus asa untuk terus menghasilkan kraftangan tersebut.

Demi mencari sesuap nasi dan rezeki yang halal, pemuda Orang Kurang Upaya (OKU) ini mengaku perniagaannya di Bukit Rotan, Selangor sedang menghadapi saat sukar.

Manakan tidak, jika dahulu pendapatannya boleh mencecah ribuan ringgit, kini jualan yang diperolehi tidak sampai separuh daripada sebelumnya.

“Dulu jual sebulan dapat RM2000 sebulan… sekarang RM500 pun susah nak dapat,” kata anak bongsu daripada 12 beradik ini kepada The Malaysian Insight.

Beliau yang lebih disenangi dengan panggilan Amy mengalami kecacatan selepas terkena demam panas sewaktu kecil. Kesan daripada itu, pergerakannya terbatas selain mengalami kesukaran dalam bertutur.
Beliau hanya bersekolah sehingga darjah 6 di sekolah rendah memandangkan dirinya sering diserang penyakit sawan.

Amy kini turut membuka gerai di Pantai Remis, Kuala Selangor pada setiap hujung minggu.

Katanya, beliau tidak boleh bergantung harap semata-mata pada gerainya yang terletak di antara jalan Sungai Buloh-Kuala Selangor.

“Hujung minggu saya meniaga di sana. Di kedai ini susah orang hendak nampak. Sebab sini ada jalan tengah buat, susah nak masuk,” katanya lagi.

Sehari, Amy mampu menghasilkan sekurang-kurangnya 20 tabung buluh setiap hari.

Beliau turut menerima tempahan tabung buluh untuk cenderamata, yang dijual dengan harga serendah RM30.

Seminggu sekali, beliau akan ke hutan berhampiran rumahnya untuk mencari batang buluh.

“Saya sudah 12 tahun buat tabung ini. Belajar dengan arwah abang ipar dan kemahiran hidup di sekolah. Banyak cabaran waktu belajar, tangan saya pernah luka terkena parang. - 7 Julai, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen