2 maut taufan Trami landa Jepun


Pokok tumbang akibat taufan Trami melanda Jepun, menyebabkan banyak jalan dan landasan kereta api terpaksa ditutup. – Gambar EPA, 1 Oktober, 2018.

DUA maut dalam insiden taufan kuat yang melanda Jepun hujung minggu lalu, kata pihak kuasa, dan pasca ribut taufan itu menyebabkan kekecohan untuk orang ramai di Tokyo pagi ini.

Awal pagi tadi, taufan Trami sudah pun berakhir di Jepun tetapi angin kuat dan hujan lebat yang dibawanya menyebabkan kerosakan dengan banyak jalan dan landasan kereta api terpaksa ditutup.

Pihak berkuasa tempatan dan polis berkata dua maut dalam taufan itu. Seorang tertimbus di tanah runtuh di Tottori, barat Jepun dan seorang lagi lemas di Yamanashi, barat Tokyo.

Kedua-duanya dipercayai maut semalam, ketika ribut itu melanda menyebabkan tanah runtuh di barat Jepun.

Dua lagi dilaporkan masih hilang, dan lebih 120 tercedera, lapor stesen televisyen negara NHK.

Trami menyebabkan tanah runtuh di barat Jepun, membawa bersama angin kuat dan hujan di kawasan yang sudah pun dilanda cuaca ekstrem.

Taufan itu menyebabkan gangguan perjalanan di negara ekonomi ketiga terbesar dunia itu, semalam, dengan perkhidmatan tren laju ditangguhkan, lebih 1,000 penerbangan dibatalkan dan perkhidmatan kereta api malam Tokyo ditutup.

Keadaan masih tidak banyak berubah pagi ini, dengan beberapa tempat terputus bekalan elektrik, pokok tumbang menghalang landasan kereta api dan kira-kira 200 penerbangan tidak dibenarkan berlepas.

Orang ramai berkumpul di stesen kereta api Tokyo, meredah lautan manusia untuk menaiki kereta api.

Lebih 400,000 isi rumah terutama di timur Jepun masih terputus bekalan elektrik pagi ini. – AFP, 1 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen