Pengganas Boko Haram bunuh 31 nelayan


Pengganas militan Boko Haram membunuh 31 nelayan dalam dua serangan berasingan di Tasik Chad, timur laut Nigeria, hari ini. – Gambar fail AFP, 8 Ogos, 2017.

SEKURANG-KURANGNYA 31 nelayan dibunuh pengganas militan Boko Haram dalam dua serangan berasingan di Tasik Chad, timur laut Nigeria, hari ini.

Dalam kejadian itu, sekumpulan militan bersenjata menyerbu, menembak dan memenggal mangsa yang sedang memancing di pulau Duguri dan Dabar Wanzam.

“Pengikut Boko Haram menyerang 14 nelayan di Duguri dan 17 lagi di Dabar Wanzam,” kata Babakura Kolo, anggota militia yang menentang militan IS di Maiduguri.

Berita mengenai serangan itu lambat diketahui kerana Boko Haram memusnahkan tiang telekomunikasi di rantau ini dalam serangan beberapa tahun lalu.

Pengganas Boko Haram pada mulanya menyerang pulau Duguri di mana mereka membunuh 12 nelayan dan mencederakan dua lagi yang kemudiannya meninggal dunia, kata nelayan Sallau Inuwa.

“Penyerang berpecah dua kumpulan. Sementara yang pertama serang Duguri, kumpulan kedua pergi ke kawasan berhampiran Dabar Wanzam di mana mereka tunggu untuk menyerang sesiapa melarikan diri daripada serangan di Duguri.

“Mereka bunuh 17 orang di Dabar Wanzam,” katanya.

Seorang nelayan yang sengaja tidak dibunuh dalam serangan itu berkata 12 mayat mangsa diletakkan dalam kanu dan dia diarah Boko Haram supaya membawanya ke Baga sebagai amaran tiada siapa dibenarkan memancing di kawasan tasik air tawar itu. – AFP, 8 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen