Mexico tahan suspek bunuh wartawan


POLIS Mexico menahan seorang suspek dalam kes pembunuhan wartawan Mario Gomez, kata pegawai di daerah selatan Chiapas, semalam.

Juan David Martinez, juga dikenali sebagai El Machaca ditahan di resort Caribbean, Playa del Carmen di Quintana Roo, kata pendakwa raya Raciel Lopez dalam satu kenyataan video.

Gomez ialah wartawan kesembilan yang dibunuh di Mexico tahun ini – negara yang paling banyak membunuh wartawan – tetapi penahanan suspek dalam kes seumpama itu amat jarang berlaku.

Saksi berkata dua lelaki bersenjata menunggang motosikal menembak mati Gomez pada 21 September ketika mangsa keluar dari rumahnya di Yajalon di utara Chiapas.

Mangsa sering membuat liputan tentang jenayah dan keganasan di kawasan El Heraldo di Chiapas.

Tidak lama selepas pembunuhan itu, pihak berkuasa memburu Martinez dan suspek kedua dikenali sebagai Oscar Leyver Acosta, yang masih bebas setakat ini. Polis menawarkan habuan 300,000 peso.

Lopez berkata Martinez ialah ketua operasi geng dadah di Yajalon.

Gomez melaporkan menerima ugutan pada 2016 selepas menulis artikel tentang dakwaan rasuah oleh anggota kongres persekutuan.

Pemandu lelaki terbabit kemudian dilaporkan menghantar mesej kepada Gomez, “Aku akan cari kau dan letupkan kepala kau”.

Pembunuhan itu terakam dalam satu video.

Kumpulan NGO, Reporters Without Borders menarafkan Mexico sebagai negara kedua paling bahaya untuk wartawan, selepas Syria.

Majoriti kes pembunuhan masih belum diselesaikan. – AFP, 1 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen