Lebih 800 mayat di Palu akan mula dikebumikan hari ini


Anggota penyelamat membawa mayat di hospital polis di Palu, sementara menanti waris mereka mencari dan mengenal pasti identiti mangsa. – Gambar AFP, 1 Oktober, 2018.

SUSULAN jumlah kematian mangsa gempa bumi dan tsunami di Palu, Indonesia setakat ini mencecah 832 orang dan dijangka semakin bertambah, pihak berkuasa mengumumkan pengebumian secara beramai-ramai akan diadakan bagi mengelak berlakunya wabak.

Ketika mangsa terselamat mencari orang tersayang di pondok-pondok yang dijadikan rumah mayat, dan pihak berkuasa berusaha mencari mangsa masih hidup di celah-celah runtuhan dan lumpur, mereka terpaksa menerima hakikat bahawa jumlah kematian mungkin mencecah ribuan orang.

“Jumlah kematian sentiasa meningkat,” akta jurucakap agensi bencana negara Sutopo Purwo Nugroho, di mana agensi itu pada mulanya mengumumkan kematian 420 orang.

“Hari ini kami akan memulakan pengebumian besar untuk mangsa, bagi mengelak penyebaran penyakit.”

Anggota penyelamat di kepulauan Sulawesi itu dihambat masa untuk menyelamatkan mangsa yang masih terperangkap dengan keadaan kekurangan peralatan. Malah, dikhuatiri, 60 orang masih berada di bawah runtuhan sebuah hotel.

Penyelamat berkata mereka mendengar suara dan tangisan anak kecil dari bawah runtuhan.

Mangsa yang terselamat dalam keadaan terdesak selepas tiga hari insiden itu, dan kini merempuh masuk ke dalam kedai untuk mendapatkan bahan asas seperti makanan, air dan minyak sementara polis tidak mengambil tindakan.

Kerajaan tidak ada pilihan selain berjanji untuk membayar kerugian pemilik kedai.

“Rekod semua barangan yang diambil. Kami akan bayar semuanya,” kata Menteri Keselamatan WIranto.

Seorang mangsa, Adi berkata dia sedang memeluk isterinya di tepi pantai ketika tsunami melanda pada Jumaat. Sama seperti ribuan yang lain, kini Adi tidak tahu di mana isterinya berada, sama ada hidup atau mati.

“Ketika ombak datang, saya hilang dia. Saya sendiri tercampak kira-kira 50 meter. Saya tidak dapat pegang apa-apa. Air itu memusing saya.

“Pagi ini saya kembali ke pantai. Saya jumpa motosikal dan dompet isteri saya.”

Sementara yang lain, mencari orang tersayang di rumah mayat terbuka, di mana mayat disusun – menanti untuk dituntut, menunggu untuk nama dikenal pasti.

Presiden Indonesia Joko Widodo yang melawat wilayah itu petang semalam menggesa usaha menyelamat dilakukan siang dan malam.

Tetapi jurucakap agensi bencana Nugroho berkata komunikasi terhad, jentera berat juga terhad agak menyukarkan usaha menyelamat. – AFP, 1 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen