BINTANG pop terkenal Amerika Syarikat Taylor Swift dijangka hadir memberi keterangan di mahkamah di Denver minggu ini untuk perbicaraan kes membabitkan seorang DJ radio yang didakwa merabanya pada satu konsert.
Pemilihan juri bermula petang semalam dan Swift, 27, dibenarkan memberi keterangan secara terperinci mengenai serangan yang didakwa berlaku pada sesi bertemu peminat empat tahun lalu.
Swift berkata DJ radio, David Mueller meraba punggungnya ketika melawat belakang pentas di Pepsi Centre, Denver pada Jun 2013 sebelum konsert berlangsung.
Mueller dipecat dua hari selepas dakwaan dibuat majikannya, stesen radio tempatan, KYGO.
Dia turut mengambil tindakan mahkamah terhadap Swift pada September 2015, mendakwa Swift sepatutnya memanggil polis dan bukan pengurusnya sehingga menyebabkan dia hilang kerja dan gaji.
Mueller menafikan ada menyentuh Swift secara tidak wajar di punggung dan menyaman penyanyi yang juga penulis lagu itu sebanyak AS$3 juta (RM12.8 juta) sementara Swift menuntut AS$1 (RM4.20) dan keputusan mensabitkan tertuduh bersalah.
Penyanyi lagu popular ‘Shake It off’ dan ‘Bad Blood’ itu berkata keputusan yang berpihak kepadanya akan menjadi contoh bagi wanita lain yang mungkin takut tampil berdepan keadaan serupa.
Kenyataan pembukaan dijangka bermula hari ini. – AFP, 8 Ogos, 2017.
Komen