UMNO tidak perlu bekerjasama dengan mana-mana parti untuk membentuk kerajaan sekiranya parti itu hanya sekadar jadi penumpang dalam kerajaan itu, kata Timbalan Presidennya Mohamad Hasan.

Tegas Mohamad, Umno perlu berusaha keras dengan usaha sendiri untuk kembali merampas kuasa di Putrajaya, tanpa terlalu bergantung dengan ehsan daripada parti lain.
“Jangan bermimpi ada orang bawa tepak sirih untuk bersama tubuhkan kerajaan,” katanya, sambil mengingatkan Umno tentang usaha keras yang perlu dilakukan.
“Kalau dia bawa tepak sirih, kita tengok tepak sirih yang macam mana. Kalau setakat bawa tepak sirih untuk kita menumpang sahaja, lupakanlah,” katanya ketika menggulung ucapan dasar presiden di Perhimpunan Agung Umno 2018 hari ini.
Bekas menteri besar Negeri Sembilan itu berkata, Umno boleh menang balik sokongan rakyat kerana ia ada pengalaman enam dekad mentadbir dalam kerajaan dan memberikan perkhidmatan kepada rakyat.
“Tetapi disebabkan silap sikit kita jatuh, runtuh kerajaan. Kita mesti kerja kuat kita mampu menang balik,” katanya.
Untuk menggerakkan kerja keras itu, Mohamad meminta tiga sayap dalam Umno untuk jadi penggerak utama dengan menyediakan Pelan Umno 2030.

Katanya, pelan tersebut mesti boleh menjelaskan dengan terperinci bagaimana Umno akan ditransformasikan sebagai pelopor sebenar kepada perubahan, 10 tahun dari sekarang.
“Maka bangunlah semula pemuda sahut cabaran ini, kembalikan imej maruah kita yang sudah tercalar.
“Jangan jadi pokok kelapa nak ambil buah pun kena pakai beruk.
“Tetapi kita jadilah pohon yang rendah walaupun dibaling dengan batu kayu tetapi buah yang manis juga kita hidangkan untuk masyarakat di luar sana,” katanya.
Bagaimanapun, beliau juga mengakui sukar untuk memujuk semula orang Melayu yang telah menolak Umno dalam Pilihan Raya Umum ke-14 lalu.
Meskipun Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi telah membentang tujuh teras dengan 21 langkah dalam usaha memulihkan hala tuju parti, Mohamad berkata adalah lebih penting untuk Umno memujuk orang-orang Melayu kembali menyokong mereka.
“Kita ubahlah apa yang patut kita ubah supaya kesilapan lalu tidak lagi kita ulangi,” ujarnya.
Tambahnya, Umno tidak perlu untuk membuang masa berdebat dengan kerajaan Pakatan Harapan dan penyokong mereka kerana mereka masih dalam mood berbulan madu.
“Tidak perlu buang masa kita berdebat orang yang tengah berkuasa. Kita tunggu apa yang dia tidak buat kita simpan. Bila orang dah mula muak kita hentam cukup-cukup
“Bila dia dah rasa harga barang akan terus melambung, ekonomi negara merosot, saya tidak nampak perkembangan ekonomi yang baik untuk suku ketiga dan keempat tahun ini, maka bila banyak orang hilang kerja.
“Masa itu kita masuklah beritahu ‘awak dah salah pilih’,” katanya. – 30 September, 2018.
Komen