Jumlah korban gempa, tsunami Sulawesi naik 832 orang


Jumlah kematian terkini itu diumumkan agensi bencana negara itu hampir dua kali ganda meningkat berbanding jumlah sebelum ini. Jumlah kematian dijangka cecah ribuan orang kerana masih banyak kawasan terputus hubungan. – Gambar AFP, 30 September, 2018.

JUMLAH kematian kerana gempa bumi dan tsunami di Indonesia naik kepada 832 orang, ketika mangsa yang terselamat di pulau dilanda bencana Sulawesi bergelut mendapatkan bekalan makanan dan air bersih, manakala jenayah rompakan semakin berleluasa.

Jumlah kematian terkini itu diumumkan agensi bencana negara hampir dua kali ganda meningkat berbanding jumlah sebelum ini. Naib Presiden Indonesia Jusuf Kalla berkata jumlah muktamad mangsa maut mungkin mencecah “ribu” kerana banyak kawasan masih terputus hubungan.

Metro TV Indonesia hari ini menayangkan rakaman daripada perkampungan pesisir pantai di Donggala, yang hampir dengan pusat gempa apabila rumah di pinggir pantai dilanda ombak. Mangsa yang ditemui berkata ramai yang melarikan diri ke tanah tinggi selepas gempa melanda.

“Bila gempa kuat sangat, kami semua lari ke bukit,” kata Iswan, penduduk tempatan kepada Metro TV.

Presiden Indonesia Joko Widodo melawat kawasan itu tengahari tadi untuk melihat kemusnahan yang berlaku.

Di bandar Palu, bantuan kecemasan mula tiba dan tentera Indonesia menghantar ketumbukan tentera membantu kerja mencari dan menyelamat mangsa yang masih hilang- di salah satu hotel 150 orang masih hilang.

“Kami berjaya bawa keluar seorang wanita masih hidup dari Hotel Roa-Roa malam tadi,” kata Muhammad Syaugi, ketua agensi mencari dan menyelamat kepada AFP.

“Kami masih mendengar jeritan mangsa terperangkap meminta tolong.”

Wujud juga kebimbangan tentang nasib ratusan orang yang bersiap sedia meraikan pesta pantai ketika gempa 7.5 melanda Jumaat lalu, menyebabkan tsunami yang melanda pesisir pantai daerah itu.

Agensi bencana percaya sekurang-kurangnya 61 warga asing berada di Palu ketika gempa berlaku, ramai yang sudah disahkan selamat.

Tiga warga Perancis dan seorang warga Korea Utara yang menginap di sebuah hotel yang runtuh masih belum diketahui nasibnya.

Hampir 17,000 orang sudah dipindahkan, kata agensi menyelamat dan angka itu dijangka bertambah.

Gempa Jumaat lalu dirasai sehingga bandar Makassar dan Kalimantan.

Seramai 2.4 juta orang mungkin merasai gempa itu, kata agensi bencana.

Indonesia adalah salah sebuah negara paling terdedah kepada bencana alam di dunia kerana kedudukannya di atas kawasan plat tektonik yang menyebabkan letusan gunung berapi dan gempa bumi.

Awal tahun ini, gempa kuat melanda Lombok membunuh lebih 550 orang di pulau tarikan pelancong itu dan jirannya, Sumbawa.

Gempa kuat sering berlaku di Indonesia, yang terburuk berukuran 9.1 melanda Sumatra pada Disember 2004 menyebabkan tsunami melanda kawasan pinggir laut sekitar Asia Pasifik mengorbankan lebih 280,000 orang di banyak negara. – AFP, 30 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen