Mana pelan tindakan hak asasi manusia, soal Suhakam


Desmond Davidson

SURUHANJAYA Hak Asasi Manusia (Suhakam) hari ini mempersoalkan kerajaan apa berlaku kepada pelan tindakan hak asasi manusia di mana kertas cadangannya dihantar pada beberapa tahun lepas.

“Kami memberikan maklum balas kertas cadangan itu beberapa tahun lalu, hari ini kami masih lagi menunggu,” kata pengerusi suruhanjaya itu Razali Ismail ketika ditemui di Kuching.

Razali berada di Kuching bagi mempengerusikan mesyuarat suruhanjaya berkenaan.

“Kali terakhir saya diberitahu hanya draf terakhir (pelan itu) sudah siap,” katanya.

Namun katanya dia masih menunggu tanpa jaminan bila draf itu akan diumumkan.

Pelan itu diluluskan Kabinet pada 12 Oktober 2012.

Ia adalah bagi merangka pelan tindakan sistematik atau prosedur operasi standard (SOP) kepada penguatkuasa agensi kerajaan bagi melindungi dan menegakkan hak asasi manusia individu ketika menjalankan tugas mereka.

Draf yang dirangka Jabatan Pengurusan Undang-Undang Pejabat Perdana Menteri, akan “disesuaikan dengan negara”.

Fokus yang dipersetujui Kabinet adalah hak sivil dan politik, ekonomi, sosial dan hak budaya, hak kumpulan terdedah, hak asli pribumi dan kewajipan antarabangsa.

Dalam hak kewajipan antarabangsa, kerajaan perlu meratifikasikan perjanjian hak asasi manusia antarabangsa yang belum ditandatangani.

“Kami juga perlahan di sini,” kata Razali.

“Daripada lapan atau sembilan perjanjian yang mahu diratifikasikan, kita hanya buat tiga. Negara jiran meratifikasikan lima atau lebih.”

Persoalan Razali timbul selepas laporan Pemerhati Hak Asasi Manusia dan Jabatan Negara AS terhadap negara yang mempunyai bacaan hak asasi yang rendah.

Laporan Pemerhati Hak Asasi Manusia pada 2016 menyatakan situasi hak asasi manusia di Malaysia terus merosot, “dengan penyokong hak asasi manusia, aktivis, tokoh politik pembangkang dan wartawan berdepan gangguan dan hukuman bermotifkan politik”.

Laporan itu menyebut mereka yang mengkritik pentadbiran Perdana Menteri Najib Razak atau memberi komen bagaimana kerajaan mengendalikan skandal 1Malaysia Devlopment Berhad (1MDB) menjadi sasaran tertentu, dengan Akta Hasutan dan Akta Komunikasi dan Multimedia yang sering digunakan terhadap pengkritik.

Manakala Razali turut mempertikaikan sebahagian kandungan laporan itu, katanya “mereka tidak salah sepenuhnya”.

“Kita tiada budaya takut di Malaysia. Bagaimanapun terdapat alasan kepada mereka membuat kesimpulan itu.” – 7 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen