Mencari Rahmat dalam dua buah rumah 


Haris Hauzah

Kekukuhan Mencari Rahmat tidak sangat bergantung pada struktur tradisi dan bentuk biasa yang sering kita jumpa dalam pencarian seni perfileman.– Gambar fail The Malaysian Insight, 30 September, 2018

“SEBUAH hasil seni yang mempersonakan, sempurna dan tinggi nilai akan membuatkan pencinta seni menikmati keindahannya, orang yang bermoral tinggi menghayati nilai moralnya, si pengecut memandangnya dengan penuh ketakutan dan sang pendosa seolah-olah melihat masa silamnya yang memalukan.”

Kata ini dipetik dari buah fikiran Oscar Wilde, seorang dramatis besar yang pernah ditangkap dan dipenjarakan.

Sejak kali pertama Plato memperkenalkan drama sebagai sebuah seni yang menimbulkan fenomena dan kekaguman, drama telah menjadi kenderaan seni kepada banyak buah fikiran. Ia jadi wacana dan wahana idea kepolitikan yang dipandu oleh cerita hasil budaya setempat serta pengalaman dari orang kebanyakan yang merana sakit akibat tekanan ketidakadilan.

Drama tidak sekadar suatu realiti manusia yang dibungkus dengan seni penceritaan dan dihias dengan lakonan sebagai asas struktur kesenian. Sejak awal lagi, drama diingati kerana kemampuannya mentakrif hidup dan mendefinisikan ketamadunan.

Plato percaya, nilai-nilai sastera yang baik adalah suatu usaha manusia bagi memperbaiki perasaan. Drama yang dihasilkan harus memiliki bumbu moral kepada pengkarya yang berdaya memberi erti sepadan terhadap penontonan. Peniruan seni bergagaskan pemikiran realisme dalam drama meneguhkan prinsip moral yang mengangkat pendekatan kritikan sekaligus menaikkan kenikmatan penontonan.

Saranan dalam kanun Republic itu diteladani Al Jafree Md Yusop yang mengambil masa 10 tahun menulis dan menghasilkan filem Mencari Rahmat. Mencari Rahmat yang diadaptasi dari drama pentas The Importance of Being Earnest menyerap segenap wit yang disesuaikan dengan budaya setempat dan zaman, sehingga karya adaptasi itu diperteguhkan.

The Importance of Being Earnest pertama kali dipentaskan pada 1895. Ia sebuah drama politik tentang prinsip etika dan pegangan moral. Keindahannya terlihat pada keseriusan gaya yang sarat dengan komedi nan nakal. Dialog yang mengkritik dengan sindir halus dan perli keras terhadap golongan aristokrat Victorian menjadi suatu bentuk kenyataan peribadi yang mempersoalkan sikap masyarakat terhadap sistem moral yang memenjarakan.

Kerana itu Mencari Rahmat dilihat sebagai karya filem yang sulit dan penuh keunikan. Karya adaptasi boleh mencerap, menyesuai dan memberikan semula nilai. Pengaruh biologi dan sosiologi karya asal ditekap dan dihias dengan kelengkapan perhiasan tempatan, sehingga hasilnya nyata segar tapi kekal berfungsi dengan gaya dan nilai yang asal.

Mencari Rahmat menyedari kepentingan plot dan perwatakan dalam membentuk konflik dan aksi dalam menggerakkan penceritaan. Tragedi yang berlaku dalam Mencari Rahmat adalah suatu stimulasi dorongan yang membawa dan membangunkan perasaan dalam menjentik logik dan kewarasan.

Dibuka perlahan dengan melodi Misty oleh Errol Garner sambil dipacak dengan dialog yang menanyakan soalan. Babak itu disesah dengan perdebatan tentang Gershwin dan Irvin Berlin. Perbandingan tentang Bon Jovi, The Beatles dan Rolling Stones. Debat perbandingan keagungan moral dunia muzik Wolfgang Amadeus Mozart dengan iklim Vienna yang sejuk dan muzik Seattle Jimi Hendrix yang memanaskan.

Perdebatan antara Azman dan Razak yang dibeberkan Reza menjalani katarsis yang disempurnakan oleh Ros, Ratna dan Datin Azizah. Semua watak ini terperangkap dalam penjara moral ciptaan sendiri akibat dogma tradisi moral yang jadi akidah.

Lihat saja dialog Razak yang mencampakkan fikiran bawah sedar ke dasar lautan moral yang dalam dan gelap: “Cuma bezanya jumlah kokain, marijuana dan LSD di Vienna pada zaman Mozart tidak sebanyak di Seattle pada zaman Hendrix.”

Persoalan moral yang sakral dijenakakan sebagai suatu humor garapan adaptasi versi Al Jaffree yang dipersembahkan dengan begitu teliti, asli dan tersendiri.

Karya asal Oscar Wilde yang dilihat memperlekehkan “Victorian Morality” berjaya disembunyikan oleh Al Jafree melalui perencanaan dialog yang begitu rinci. Kerumitan proses mengadaptasi karya sebesar ini menjadi aset paling bernilai apabila Mencari Rahmat berhasil memindahkan kontekstual watak, isu, tema dan menghuraikan isi kritikan melalui premis tokok tambah dengan kawalan. Ia sekaligus menjadi asas keunikan dan kehebatan. Narasi lontaran dialog yang stailistik adalah laras penting bagi meletakkan filem ini sebagai sebuah karya adaptasi besar dan terhormat.

“Sementara naluri seorang penulis adalah berfikir dengan kata-kata. Kata-kata itu mestilah bertukar menjadi imej visual untuk kamera, kerana pada skrin, melihat adalah mempercayai, tidak kira apa pun jua kata wataknya,” kata F. Scott Fitgerald, yangi memang tepat tak tersangkal.

Mencari Rahmat tidak hanya berjaya dikarang pada lakon layar dan diarah dengan tinggi mutu lakonan. Akan tetapi penceritaannya dijaga kemas oleh visual yang digerakkan secara efektif dalam memberikan kefahaman mendalam tentang subjek yang diperkatakan.

Ternyata kerja kamera senimatografi Mohd Nor Kassim kali ini berani dan luar tabie. Penonjolan setiap karektor dalam shot pada babak tidak hanya memberikan keterujaan menikmati wajah dan dialog. Malah kecantikan setiap butir perkataan divisualkan selari dengan pemaknaan moral yang ditertawakan.

Kesulitan Mencari Rahmat berjaya ditangani setelah ianya secara visual dapat memberikan kenikmatan senimatografi yang ada kejituan. Malah ia berjaya menyerlahkan semangat teaterikal yang sukar untuk dijelaskan. Kalungan pujian juga harus diberikan pada aspek pengarahan seni yang bijak mendalamkan psikologi karektor pada erti dan makna tatarias.

Sebuah filem dengan dua lokasi bersama 10 watak sebegini bisa saja jadi bencana besar kepada keseluruhan penceritaan. Mencari Rahmat dilihat bersungguh pada garis seni dalam filem yang ada kebenaran. Ia bebas mencari jalan interpretasinya sendiri, menafsir nilai dan etika moral melalui rasa komedi yang nakal pada nuansa penceritaan yang penuh persendaan.

Kekukuhan Mencari Rahmat tidak sangat bergantung pada struktur tradisi dan bentuk biasa yang sering kita jumpa dalam pencarian seni perfileman. Akan tetapi kerana sifatnya yang menentang dan melawan norma dengan menyudutkan diri jauh dari lambakan pengaruh dan tradisi konvensional mainstream pop yang terlalu biasa dan mudah.

Ia selesa lepas bebas dari keterikatan konvensi. Berani mencabar gaya, cara dan juga arus perdana melalui kenakalan dan kelucuan yang serius dengan mentertawakan diri penonton. Sehingga pada akhirnya Mencari Rahmat menyentak minda menyedarkan kita betapa pentingnya semua mencari rahmat kerana nilai moral adalah sesuatu yang paling tidak bermoral. – 30 September, 2018

 

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.

* Haris Hauzah, pengamat filem dan Ahli Sidang Utama Komuniti Filem Titiwangsar (Komfit).


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen