BEKAS ketua Umno bahagian Teluk Kemang, Isa Samad berharap sahabat lamanya dalam parti akan membantu kemenangannya dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson.
Bekas menteri besar Negeri Sembilan selama 22 tahun itu berharap pemimpin Umno di peringkat akar umbi akan menasihati ahli untuk mengundinya, walaupun beliau bukan lagi ahli parti.
“Lebih baik tuan-tuan sokong saya, saya bekas ahli Umno, bukan bermakna kalau tuan-tuan tak undi saya, dan sebaliknya undi Pakatan Harapan atau PAS tuan-tuan betul, tidak.
“Kalau undi saya, saya bukan pembangkang, saya jadi bebas. Ia berlainan dalam konteks pilihan raya,” kata Isa, ketika ceramah pertamanya dalam kempen di Kampung Bagan Pinang, Port Dickson, malam tadi.
Beliau meneruskan strategi parti lamanya dengan mengadakan ceramah kelompok yang menyasarkan kumpulan kecil antara 20 hingga 50 individu.
Dalam ceramah tersebut, Isa mendedahkan beliau telah menemui beberapa ketua cawangan Umno di kawasan Port Dickson untuk memberi penjelasan sebab beliau bertanding atas tiket Bebas dan meletak jawatan sebagai ahli parti.
Bekas menteri besar Negeri Sembilan sejaj 1982 hingga 2004 itu berkata, beliau mengambil keputusan bertanding selepas Umno mengambil keputusan untuk memboikot PRK itu.
“Inilah pertama kali saya bertanding di tempat saya sendiri. Perkhidmatan saya tuan-tuan pun tahu macam mana saya berkhidmat sebelum ini,” katanya, lagi, dalam ucapan kurang 10 minit.
“Tadi saya jumpa beberapa ketua cawangan saya jelaskan, PKR, PH, dan PAS memang musuh kita, itu musuh kita sejak dulu lagi,” katanya, di hadapan kira-kira 50 penduduk yang hadir.
Bekas Adun Linggi itu memenangi kerusi Dun Bagan Pinang dalam pada pilihan raya kecil 2009. Kedua-dua kerusi itu berada dalam kawasan Parlimen Port Dickson.
Selain ceramah kelompok, Isa juga menyasarkan kempen rumah ke rumah pengundi sasaran, seperti dilakukan Wanita Umno.
Selain Isa, empat lagi calon Bebas bertanding menentang presiden PKR Anwar Ibrahim. Seorang lagi calon adalah Mohd Nazari Mokhtar dari PAS, yang juga bekas presiden Kelab Kebajikan Veteran dan Pesara Tentera. – 30 September, 2018.
Komen