Dua wartawan ditembak dalam tempoh dua hari di Filipina


Petugas media Filipina mendapatkan bantuan tentera untuk menggunakan senajta api sebagai pelindung diri. – Gambar EPA, 7 Ogos, 2017.

DUA wartawan ditembak mati dalam tempoh dua hari dalam kejadian berasingan di Filipina menjadikan negara itu sebagai salah sebuah negara yang merbahaya kepada petugas media.

Wartawan penyiaran Rudy Alicaway dan kolumnis Leo Diaz merupakan petugas media yang keempat dan kelima terbunuh sejak Presiden Rodrigo Duterte, yang lantang mengkritik media, mengambil alih pentadbiran negara itu tahun lalu, kata Setiausaha Agung Kesatuan Wartawan Kebangsaan Filipina (NUJP).

Dalam kedua-dua kejadian, mangsa sedang menunggang motosikal sebelum dihampiri motosikal lain dari belakang yang kemudiannya menembak mati mangsa.

Diaz yang merupakan koresponden akhbar tabloid Manila Balita (Berita) dan kolumnis akhbar komuniti, dibunuh di selatan bandar Presiden Quirino pada Isni, kata penasihat Balita, Fort Yerro.

Diaz yang juga bekas anggota polis, sering membuat liputan berhubung penyelewengan politik, perjudian haram dan dadah kata Yerro, dan menambah dia tidak mengetahui tentang sebarang ancaman ke atasnya.

Alicaway, yang merupakan hos bagi rancangan masalah komuniti mingguan di stesen radio DXPB, dibunuh di bandar Molave pada Ahad, menurut laporan polis.

Rocel Navarro, pengurus stesen kendalian kerajaan di mana rancangan itu disiarkan berkata dia tidak membuat liputan isu kontroversi.

“Kita tertanya-tanya mengapa perkara ini terjadi kepadanya. Dia tiada musuh sebagai penyiar,” kata Navarro kepada AFP.

Dua pembunuhan itu berlaku di selatan Mindanao, di mana menjadi lokasi militan, gerila komunis dan samseng politik aktif.

“Ini sekali lagi menggambarkan budaya serangan dan pembunuhan sewenang-wenangnya ke atas wartawan Filipina yang masih tidak berhenti walaupun terdapat bantahan antarabangsa,” kata NUJP. – AFP, 7 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen