JUMLAH kematian bencana gempa bumi dan tsunami di kepulauan Sulawesi di Indonesia mencapai 420 orang, lapor media tempatan hari ini, ketika anggota penyelamat berdepan kesukaran menghantar bantuan ke wilayah terjejas.
Agensi Antara memetik ketua agensi bencana negara memberikan jumlah kematian terbaru dalam kejadian di bandar Palu, sementara pihak berkuasa menjangkakan angka akan terus meningkat susulan berita diterima dari kawasan terpencil yang terputus hubungan akibat gempa bumi berskala 7.5 magnitud dan tsunami setinggi 1.5 meter.
Sekurang-kurangnya 540 cedera parah, kata jurucakap agensi, dan hospital bertungkus-lumus menangani kebanjiran pesakit dan kematian.
Presiden Indonesia Joko Widodo berkata pasukan tentera dikerah ke wilayah itu bagi membantu pasukan mencari dan menyelamat mencari mangsa dan mayat.
Beberapa pesawat kerajaan dilihat berterbangan menghantar bekalan bantuan dan berjaya mendarat di lapangan terbang utama di Palu, walaupun ia akan ditutup untuk penerbangan komersial bagi beberapa hari.
Agensi bencana berkata mereka bimbang dengan kehilangan ratusan orang yang ketika kejadian, sedang membuat persiapan untuk festival pantai yang dijadualkan bermula pada Jumaat.
Di Palu – yang didiami populasi 350,000 orang – mayat ditemui bergelimpangan berhampiran pantai selepas ombak kuat melanda kepulauan itu pada Jumaat.
Mangsa yang terselamat mencari-cari ahli keluarga dan rakan yang hilang di bawah selerakan bumbung, kayu dan serpihan kira-kira 50 meter dari pantai.
Seorang lelaki kelihatan memegang mayat seorang anak kecil yang berselut lumpur.
Ramai masih tidak pulang ke rumah dan tidur di tempat perlindungan, kerana bimbang berlaku ulangan tsunami. – AFP, 30 September, 2018.
Komen