Erdogan akhiri lawatan di Jerman dengan perasmian masjid


Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan berucap ketika merasmikan masjid di Cologne, Jerman. – Gambar AFP, 29 September, 2018.

PRESIDEN Turki Recep Tayyip Erdogan merasmikan salah satu masjid terbesar di Eropah yang terletak di Cologne pada Sabtu ketika menamatkan lawatan kontroversinya ke Jerman, dengan polis mengerahkan pasukan untuk mengendalikan himpunan tunjuk perasaan.

Perasmian itu merupakan penutup bagi siri lawatan tiga harinya ke negara itu, yang bertujuan untuk memperbaiki hubungan diplomatik dengan Berlin selepas dua tahun ketegangan.

Erdogan meninggalkan ibu kota Jerman selepas mesyuarat pagi dengan Angela Merkel yang merupakan perbincangan kedua mereka dalam masa dua hari.

Erdogan kemudian ke bandar barat Cologne di mana ribuan penunjuk perasaan turun di jalanan, membantah segala-galanya rekod Turki mengenai hak asasi manusia dan kebebasan akhbar terhadap layanan kepada kaum minoriti Kurdish.

Di tebing Sungai Rhine, para penunjuk perasaan membawa sepanduk tertulis: “Erdogan tidak dialu-alukan”.

Cansu, pelajar berusia 30 tahun yang berasal dari Turki, datang dari Switzerland untuk menyertai protes itu.

“Saya mahu menjadi suara mereka yang tidak boleh turun ke jalanan di Turki kerana mereka ditangkap, dibunuh atau ditindas. Erdogan berpendapat sebarang perbezaan pendapat dengannya adalah keganasan.”

Tomas, seorang pelajar Jerman, muncul berpakaian putih yang disimbah perwarna merah seperti  darah. Beliau dan beberapa yang lain membawa sepanduk gergasi yang tertulis “Diktator. Pembunuh besar-besaran”.

“Kami berada di sini untuk menunjukkan Cologne tidak mahukan anda,” kata pemuda berusia 22 tahun tersebut. – AFP, 29 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen