BARISAN Nasional (BN) akan dijenamakan semula sebaik sahaja rundingan antara parti komponennya selesai, kata Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.
Menurut Zahid dalam ucapan dasar presiden membuka Perhimpunan Agung Umno 2018 di Kuala Lumpur malam ini, tindakan ini terpaksa dilakukan selepas BN tewas buat pertama kalinya dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada Mei lalu.
“Sebagai pengerusi BN, saya telah mengambil kira secara serius berhubung hala tuju dan permuafakatan kita. Tindakan segera mesti dilakukan bagi membina keyakinan rakyat.
“Suka saya mengumumkan, BN akan dijenamakan semula sebaik sahaja perundingan dengan rakan-rakan komponen sedia ada selesai dan dimuktamadkan,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar presiden sempena Perhimpunan Agung Umno 2018 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.
BN tewas selepas memerintah selama 61 tahun di mana bilangan kerusi yang diperoleh pula jauh merosot kepada 79 kerusi berbanding 133 kerusi dalam PRU13.
Umno selaku tunjang kepada BN hilang 34 kerusi apabila hanya menang 54 kerusi, berbanding 88 kerusi pada PRU13.
Selain Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) dan Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) yang masing-masing mengekalkan satu kerusi, parti komponen lain mengalami kemerosotan.
MCA menyusut daripada tujuh kepada satu kerusi MIC (4 kepada 2), Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (14 kepada 13), Parti Rakyat Sarawak (6 kepada 3), Parti Demokratik Progresif (4 kepada 2), UPKO (3 kepada 1) dan PBS (4 kepada 1).
Bagaimanapun selepas sebulan tewas PRU14, satu demi satu parti keluar daripada BN dan hanya tinggal empat daripada 13 parti komponen yang ada.
Menurut Zahid, cadangan parti gabungan ini bakal dianggotai lima parti teras merangkumi Umno, MCA, MIC, MyPPP, dan PBRS dan parti gabungan lain yang memahami aspirasi serta idealisme perjuangan bersama.
“Gabungan baru itu juga akan dianggotai entiti daripada parti politik mesra Umno yang selama ini banyak membantu dan menyokong, badan bukan kerajaan (NGO).
“Penjenamaan semula itu juga akan mengambil pendekatan di mana individu boleh menjadi ahli BNl tanpa melalui mana-mana parti politik.
“Inilah yang akan kita lakukan dalam penjenamaan semula BN,” ujarnya. – 29 September, 2018.
Komen