Umno jangan jadi broker politik, kata Pemuda


SM Amin

Naib Ketua Pemuda Umno Shahril Hamdan berkata pimpinan parti sering memberi isyarat mengelirukan kepada ahli. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 September, 2018.

PERGERAKAN Pemuda Umno mahu pimpinan tertinggi fokus dengan pengukuhan semula parti dan bukannya menjadi broker politik, berunding dengan pihak lain untuk membentuk kerajaan melalui “pintu belakang”.

Naib Ketua Pemuda Shahril Hamdan berkata, Pemuda Umno resah dengan hala tuju parti kerana selepas empat bulan tewas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), pimpinan parti sering memberi isyarat mengelirukan dan merisaukan.

“Kita selalu dengar ura-ura mengatakan kita bakal menjadi kerajaan semula dan perpecahan dalam parti kerajaan akan memberi peluang kepada kita menyelinap masuk dalam kerajaan.

“Mulalah kita mendengar deal-deal dengan Bersatu, dengan parti PKR team A, PKR team B, dengan PAS pun ada deal. Besok mana tahu dengan DAP pun ada deal.

“Kalau ia elok untuk parti tetapi takkan itu hala tuju utama kita? Takkan masuk kerajaan pintu belakang jadi hala tuju utama kita? Orang lain hendak jadi perdana menteri kita hendak jadi broker?” katanya ketika menggulung usul di Perhimpunan Pergerakan Pemuda Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra hari ini.

Kata Shahril, segala rundingan dengan mana-mana parti boleh dilakukan selepas Umno kukuh, kembali disegani dan dihormati kawan, lawan serta rakyat.

“Belum buat apa-apa, tidak kukuh lagi kita sudah pergi berunding. Takut mereka ‘ayam-ayam’ kan (mempermainkan) kita sahaja. Itu yang jadi, daripada 54 kerusi sekarang tinggal 49 kerusi sahaja.

“Kalau hendak lagi gentle, jika deal (rundingan) itu tidak baik untuk Umno, tidak perlu deal pun tidak apa. Kita takut ke jadi pembangkang? Lawanlah. Esok ada rezeki kita menanglah semula,” tegasnya.

Mengulas mengenai kerjasama dengan PAS, Shahril berpendapat gabungan itu masih tidak cukup kuat untuk merampas semula kerajaan persekutuan.

Sebarang bentuk kerjasama dengan PAS kata Shahril perlu dikaji dengan teliti supaya mendapat keputusan yang diharapkan.

“Realitinya, sama ada Umno atau PAS tidak mampu menang dengan sokongan tegar masing-masing. Kita perlu cari orang muda yang mengundi Pakatan Harapan. Mereka Melayu juga.

“Permainan politik ini permainan angka. Kerjasama apa sekalipun jika tidak menang, tidak ada angka. Ia bermakna kerjasama itu gagal dari segi politk,” ujarnya. – 29 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen