Umno tidak perlu malu, Najib bukan lagi presiden


SM Amin

Perwakilan Johor, Bastien Onn berkata pemimpin parti kini tidak perlu malu untuk bertemu rakyat kerana Najib Razak yang menjadi punca kekalahan kerajaan Barisan Nasional pada PRU14 sudah melepaskan jawatan sebagai perdana menteri dan presiden Umno. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 29 September, 2018.

PIMPINAN dan ahli akar umbi Umno tidak perlu berasa malu bertemu rakyat kerana Najib Razak bukan lagi presiden parti, kata perwakilan Johor.

Bastien Onn berkata, terdapat dua punca utama kekalahan Umno dalam Pilihan Raya Umum ke-14 Mei (PRU14) lalu iaitu persepsi dan fitnah terhadap Najib serta juga janji manis Pakatan Harapan (PH).

“Kalau Najib bermasalah, hari ini Najib bukan lagi perdana menteri, bukan presiden kita. Sudah tidak nampak masalah itu dan kita sudah tidak rasa malu untuk turun berjumpa dengan rakyat.

“Jangan benarkan mereka menjauhi kita. Kita perlukan mereka,” katanya ketika membahaskan usul di Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur hari ini.

Jelasnya, Najib sudah dihadapkan ke mahkamah dan ia medan terbaik untuk beliau membersihkan dirinya daripada segala pertuduhan dan fitnah.

Menurut Bastien, walaupun rakyat sudah menghukum Umno kerana gagal menangani isu Najib, tidak bermakna Umno boleh mentertawakan rakyat atas kesilapan yang mereka lakukan dengan mengundi PH.

Bekas calon naib ketua Pemuda Umno itu berkata rakyat sudah berasa tertipu kerana kerajaan PH gagal menunaikan janji dan Umno tidak seharusnya menambah kedukaan mereka.

“Kita semua hendaklah berhenti mentertawakan rakyat. Ini tidak habis-habis ‘kita tepuk’. Kita seolah-olah memisahkan diri kita dengan rakyat. Kita perlu kembali kepada rakyat,” katanya.

Bastien turut menyatakan rasa tidak setuju dengan beberapa tindakan Umno untuk menggembalikan semula keyakinan rakyat.

“Mengapa pula kita hendak buka parti kita kepada bangsa lain? Kenapa pula kita tergopoh-gapah hendak bekerjasama dengan PAS? Dan mengapa pula kita hendak buka keahlian kita kepada budak berumur 16 tahun?

“Adakah ia penyelesaian kepada permasalahan utama kekalahan kita? Walaupun kita wala’ dengan kepimpinan tetapi mereka harus menerangkan kepada kita.

“Malam ini kita akan dengar amanat presiden dan kita tuntut penjelasan. Kita perlu diperjelaskan agar dapat dijelaskan kepada ahli-ahli di bawah,” ujarnya. – 29 September, 2018.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen