SERAMAI 384 orang terbunuh dan seramai 29 orang masih hilang susulan gempa kuat dan tsunami yang melanda bandar Palu di Pulau Sulawesi, Indonesia.
Laporan Jakarta Post menyebut, pihak berkuasa menyatakan seramai 540 orang lagi cedera akibat bencana yang melanda kawasan barat daya pulau tersebut semalam.
Keadaan di satu lagi bandar berdekatan, Donggala yang turut dilanda gempa kuat dan tsunami dilaporkan masih belum diketahui kerana terputus hubungan.
Laporan Jakarta Post memetik kenyataan jurucakap agensi Badan Nasional Penanggulangan Bencana (BNPB), Sutopo Purwo Nugroho yang menjangka jumlah mangsa akan meningkat.
Katanya, pasukan penyelamat masih belum sampai ke kawasan yang terjejas.
Siri gempa pada tengah hari Jumaat mencecah magnitud 7.4, diikuti ombak setinggi antara 0.5 hingga 3 meter yang menghentam sebahagian pantai Donggala dan pantai Talise di Palu.
Beberapa stesen janakuasa terjejas akibat gempa tersebut yang mematikan liputan komunikasi selular.
Perhubungan juga terjejas kerana bencana tersebut turut merosakkan jambatan utama dan lapangan terbang di Palu. – 29 September, 2018.
Komen