UCAPAN Ahmad Zahid Hamidi malam ini ditunggu-tunggu kerana akan menetapkan hala tuju Umno selepas parti itu kalah Pilihan Raya umum ke-14 (PRU14).
Sejak terpilih sebagai presiden parti Jun lalu, pemimpin dan ahli di akar umbi merasakan Umno terumbang-ambing dan kebingungan setelah kehilangan kuasa dalam PRU14.
Ramai yang berpendapat Umno terutamanya barisan pimpinan tertinggi yang diketuai oleh Zahid sukar menerima hakikat bahawa parti itu perlu bermula daripada kosong, sebagaimana Umno bermula tanpa kuasa pada 1946.
Umno yang menang 88 daripada 133 kerusi Parlimen pada PRU13 merosot teruk apabila hanya menang 54 kerusi di Dewan Rakyat pada PRU14. Lima ahli Parlimen kemudiannya keluar parti, sekarang tinggal 49.
Mereka yang keluar parti itu memberikan alasan antaranya tidak nampak tanda-tanda Umno mahu berubah atau jalan perubahan yang parti itu ambil tidak sehaluan dengan pegangan sikap mereka.
Bagaimanapun dalam temuramah bersama Umno Online minggu ini, Zahid menafikan beliau gagal memberikan hala tuju parti. Beliau malah memberi gambaran Umno akan akan membentuk kerajaan dalam masa terdekat.
“Hala tuju kita adalah untuk menjadi kerajaan, itu hala tuju yang harus dipersetujui oleh semua.
“Tetapi kaedah untuk menjadi kerajaan, itu tugas saya, timbalan presiden dan semua pimpinan parti untuk bersama-sama menentukannya,” kata ahli Parlimen Bagan Datuk itu.
Adakah Zahid dalam ucapan dasarnya malam ini akan mengemukakan tawaran baru Umno kepada rakyat, atau apakah beliau mahu jadi “broker politik” cuba memujuk perwakilan memberi sokongannya terhadap apa yang sedang beliau usahakan dengan pihak tertentu?

Dalam politik tiada kawan dan lawan, yang ada hanya kepentingan sahaja. Dalam menjalinkan kerjasama dengan mana-mana pihak, Umno perlu mencari jalan tengah iaitu kompromi kepentingan.
Kerjasama Umno dengan parti-parti lain seperti PAS, PKR, mahupun Bersatu hanya kepentingan politik apabila kedua-dua pihak merasakan ada keuntungan dalam kerjasama yang terjalin itu.
Apakah Zahid perlu membuat pungutan suara dalam kalangan ahli-ahli Umno, tentang jalan politik yang perlu diambil oleh parti itu sekarang?
Apakah konsep ini ada dalam Umno, yang keputusannya sekarang untuk menentukan bentuk kerjasama dengan parti-parti lain ditentukan oleh ketua parti, dalam hal ini Zahid.
Pengerusi Jemaah Penasihat Umno, Tengku Razaleigh Hamzah sebelum ini menegaskan tidak bersetuju sekiranya Umno mahu bekerjasama dengan mana-mana pihak untuk membentuk kerajaan segera.
Sebagai parti yang mempunyai bilangan ahli Parlimen paling ramai di Dewan Rakyat, veteran Umno itu menyifatkan usaha pimpinan parti “merangkak” meminta pertolongan daripada parti yang lebih kecil jumlah wakil rakyatnya adalah tidak wajar.
“Jadi tak munasabah. Kalau saya ini dianggap sebagai pengerusi kepada majlis penasihat, kenapa saya nak terima cadangan seumpama itu?” soalnya.
Tengku Razaleigh turut menasihatkan Zahid supaya fokus kepada usaha untuk mengukuhkan parti di peringkat dalaman kerana itu jauh lebih penting.
Selepas tewas teruk dalam PRU14 Mei lalu, pastinya pemimpin Umno sebelum ini yang terlibat dalam merangka gerak kerja pilihan raya tidak akan terlepas daripada menerima amarah daripada perwakilan.
Dengan hanya ada usul membahas ucapan dasar presiden esok, pimpinan parti seharusnya sudah bersedia mendengar ucapan pedas daripada pembahas-pembahas. Setiap teguran dan kritikan yang dilemparkan haruslah diterima dengan berlapang dada.
Mungkin ada perwakilan yang merasakan Umno perlu bermuhasabah diri dengan mengambil ikhtibar di atas kekalahan lalu dan memikirkan langkah yang terbaik untuk Umno kembali diterima rakyat – bukannya dengan membentuk kerjasama dengan parti lain untuk jadi kerajaan. – 29 September, 2018.
Komen