MANA-MANA majikan diingatkan supaya tidak menipu dalam menyediakan slip gaji pekerja masing-masing dan sekiranya ingkar mereka akan berhadapan dengan tindakan undang-undang.
Timbalan Pengurus Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Batu Pahat Mohd Saifuddin Mohd Nor berkata, disebabkan tindakan yang dilakukan majikan tidak bertanggungjawab itu telah melewatkan proses tuntutan faedah Perkeso sekiranya pencarum ditimpa bencana di tempat kerja.
“Perbuatan tersebut juga akan menyukarkan waris pencarum berkenaan membuat tuntutan serta pihak kami juga bermasalah menguruskan bayaran tuntutan yang dibuat.
“Diharapkan semua pihak mengambil ‘peduli’ akan perbuatan yang tidak bertanggungjawab dan pekerja yang mempunyai masalah seperti ini dapat melaporkan segera kepada pihak kami (Perkeso),” katanya kepada pemberita ketika melawat waris mangsa kemalangan jalan raya di Lebuhraya PLUS berdekatan Ayer Hitam pada 21 September lalu ketika sedang bekerja, hari ini.
Dalam lawatan berkenaan di Taman Cempaka Parit Haji Sidek, Jalan Kluang itu turut dihadiri oleh Ahli Parlimen Batu Pahat Mohd Rashid Hasnon.
Memberi contoh, waris yang ditemui hari ini berkenaan merupakan “mangsa” kepada tindakan majikan yang sebelum ini bertugas sebagai pemandu lori syarikat penunda kenderaan hanya menerima gaji sebanyak RM1,000 sebulan walaupun gajinya mencecah RM4,000 sebulan.
Katanya, mangsa juga pernah patah tangan akibat kemalangan di tempat kerja namun majikan tidak melaporkannya kepada Perkeso menyebabkan mangsa gagal mendapat faedah sewajarnya.
“Majikan juga enggan membayar duit minyak kenderaan jika mangsa mendesaknya menyediakan slip gaji sebenar hingga mangsa beralah.
“Mangsa tidak dapat menerima faedah sewajarnya hinggalah meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya (21 September) ketika sedang bekerja,” katanya.
Dalam perkembangan sama berkata, sekiranya pencarum meninggal dunia akibat bencana di tempat kerja, waris akan menerima Faedah Orang Tanggungan (FOT) iaitu 90% bayaran daripada gaji kasar.
“Jika kematian bukan disebabkan bencana di tempat kerja hanya 65% bayaran daripada gaji kasar diberikan kepada waris pencarum yang dipanggil pencen penakat,” katanya.
Jelasnya, kes berkenaan dalam siasatan dan majikan berkenaan akan diminta membayar jumlah caruman Perkeso yang gagal dibayar sebelum tuntutan FOT diluluskan kepada waris mangsa.
“Majikan yang tidak melaporkan bencana di tempat kerja kepada Perkeso boleh didakwa di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 yang boleh dihukum denda maksimum RM10,000 atau penjara dua tahun atau kedua duanya sekali,” katanya. – Bernama, 29 September, 2018.
Komen